Sabtu, 22 September 2012

Belanjawan, Pilihan Raya Bakal Hangatkan Sidang Parlimen Kali Ini

MALAYSIA CHRONICLE

KUALA LUMPUR-- Persidangan Dewan Rakyat yang membuka tirai Isnin ini dijangka menjadi tumpuan umum bukan sahaja kerana pembentangan Belanjawan 2013, tetapi juga bagi membaca tarikh pilihan raya umum ke-13.

Spekulasi bahawa ini mesyuarat terakhir kembali hangat setelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berseloroh menyatakan sudah teringin mengumumkan pilihan raya ketika melawat Machang, Kelantan awal bulan ini.

Berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, mandat kerajaan yang ada sekarang akan tamat pada 28 April 2013, dan menurut Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar, Parlimen akan terbubar secara automatik jika Yang di-Pertuan Agong tidak membubarkannya sebelum tarikh itu.

"Selepas itu SPR diberi tempoh 60 hari untuk mengadakan pilihan raya umum bagi membentuk kerajaan baharu. Perkara sama terpakai untuk dewan undangan negeri kecuali Sarawak," katanya kepada Bernama pada Jumaat.

Mesyuarat ketiga penggal kelima ini akan berlangsung selama 34 hari hingga 27 Nov dan pastinya spekulasi pilihan raya umum menjuruskan mata rakyat kepada Belanjawan 2013 yang akan dibentang Najib pada Jumaat ini.

Rakyat secara keseluruhan pasti menunggu apakah 'khabar gembira' untuk mereka terutama dalam menangani kenaikan harga barang, manakala bagi 1.4 juta penjawat awam pula ternanti-nanti pengumuman penambahbaikan Sistem Saraan Malaysia.-- BERNAMA

Tiada ulasan: