Rabu, 25 Julai 2012

Tamrin mahu MT Umno tunjuk sebab



Oleh Subky Latif

TAMRIN Tun Ghafar Baba, bekas Mempi BN dan bekas Exco Pemuda UMNO sebelum demonstrasi Bersih 3.0 hujung April lalu menulis surat panjang kepada Perdana Menteri Najib membantah apa yang dikiranya penyelewangan oleh Najib dan pemimpin UMNO dan kerajaan dalam banyak isu.

Semua yang disebutnya adalah bertentngan dengan undang-undang dan politik demokrasi UMNO.

Dia memberi tempoh dua minggu kepada Najib, jika tiada respons dia akan mengedarkan surat itu kepada umum. Kerana tidak menerima maklum balas, dia naik pentas pembangkang dan kelihatan dalam tunjuk perasaan rakyat yang tujuannya untuk menyampaikan sikap dan salah laku pimpinan UMNO yang diketuai Najib kepada orang ramai.

Awal Julai ini dia menerima surat tunjuk sebab dari Setiausaha Agung UMNO, mengapa dia tidak boleh dikenakan tindakan disiplin parti.

Seperti Najib tidak menjawab suratnya, Tamrin juga tidak menjawab surat tunjuk sebab itu. Tetapi saya dapati Tamrin muncul dalam TV secara on-line menyebut bukan dia mesti diberi surat tunjuk sebab, sebaliknya Najib dan sekalian ahli Majlis Tertinggi UMNO yang mesti menunjuk sebab mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan disiplin kerana melanggar perlembagaan UMNO.

Dia mnunjukkan antara petikan perlembagaan UMNO tentang tujuan dan tanggungjawab sekalian ahli UMNO dari setinggi hingga serendahnya di peringkat akar umbi mestilah peduli dan prihatin terhadap masalah rakyat. Tetapi UMNO sekarang sudah tidak peduli lagi dengan masalah rakyat.

Dia juga menyebut tentang semangat perlembagaan UMNO yang mahu parti itu dan kerajaan yang dipimpinnya menjaga kedaulatan dan keselamatan negara.

Dia membangkitkan tentang apa yang dikiranya keselamatan negara sudah digadaikan apabila berpuluh ribu orang asing telah diberi kerakyatan segara dan didaftarkan menjadi pengundi untuk PRU 13 ini.

UMNO telah membenarkan pegawai dan jabatan kerajaan membawa orang luar bagi dijadikan pengundi. Tidakkah ia satu kerja pengkhianatan kepada keselamatan negara?

Hingga katanya, dalam kawasan pilihan raya Parlimen Pekan yang diwakili Najib terdapat satu kawasan pengundi yang dinamakana Kampung Kampuchea. Pengundinya terdiri dari pelarian dari Kampuchea.

Apa yang dilakukan oleh pemimpin dan orang-orang UMNO sekarang bukan lagi apa yang diperjuangkan oleh pemimpin-pemimpiin UMNO yang memperjuangkan kemerdekaan dulu seperti bapanya Tun Ghafar Baba dan bapa Najib, Tun Razak.

Tamrin ditanya mengapa semua salah laku UMNO dan pemimpinnya itu tidak disampaikan kepada parti melalui saluran yang sewajarnya tetapi sebaliknya dia membuat teguran terbuka dan menggunakan pentas pembangkang?

Jawab Tamrin, UMNO tidak mahu dengar teguran kita dan tidak akan layan bantahan rakyat. Dia sudah menghantar surat kepada Najib sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Dia tidak jawab. Tiada jawapan sejak hujung April hingga Julai sekarang.

Jika babanya Tun Ghafar Baba tidak dilayan oleh UMNO sedang dia adalah bekas Timbalan Presiden UMNO dan bekas Timbalan Perdana Menteri, maka siapa dalam UMNO hendak layan ahlinya yang tidak ada kedudukan dalam parti.

Katanya, bapanya minta berjumpa dengan seorang Menteri Besar, Menteri itu kerana terlalu sibuk memberinya enam bulan untuk menemuinya. Sehari sebelum temu janji itu pegawai Menteri Besar itu memaklumkan pertemuan itu dibatalkan.

Inilah layanan Menteri Besar terhadap orang disebutkan sebagai negarawan. Tetapi kata Tamrin bapanya minta bertemu dengan Menteri Besar Kelantan, Tok Guru Nik Aziz. Tok Guru itu juga seorang yang sibuk, banyak memberi kuliah agama, dia pun bukanlah sihat sangat, tetapi dalam masa tiga hari saja bapanya dapat bertemu dengan Menteri Besar Kelantan.

Tok Guru terima bapanya sebagai tetamu negeri, sediakan motokar untuk ke mana saja. Apa yang mengharukannya Tok Guru katakan kepada Tun Ghafar bahawa Tun Ghafar boleh berapa hari dia suka, kalau mahu tinggal di Kelantan, kerajaan akan sediakan rumah untuknya.

Mengapa Tamrin naik pentas pembangkang dan tidak mengadakan pentas partinya? Jawabnya, UMNO akan adakan ceramah untuknya dan kalau pun UMNO adalah majlis ceramah, tiada siapa dalam UMNO itu hendak mendengarnya.

Maka pilihannya ialah menyertai ceramah pembangkang supaya pendedahannya tentang kepalsuan UMNO sekarang dapat disampaikan kepada orang ramai termasuk ahli-ahli UMNO.

Katanya, dia sayangkan UMNO dan masih ahli UMNO. Teguran yang dibuatnya di merata-rata itu ialah kerana sayangkan UMNO dan mahu pemimpin-pemimpin UMNO membetulkan semula perjuangannya.

Tiada ulasan: