MALAYSIA CHRONICLE
KUALA LUMPUR- Kelantangan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membantah begitu banyak kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta menuntut diadakan pilihan raya tahun ini memberi tanggapan bahawa beliau semakin berkuasa.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar membangkitkan perkara itu ketika mempersoalkan siapakah sebenarnya Perdana Menteri negara ini.
"Siapa Perdana Menteri sekarang? Siapa 'in charge'? Siapa 'in control'? (Datin Seri) Rosmah (Mansor)? (Tun) Dr Mahathir (Mohamad)? Muhyiddin? Najib?" beliau mempersoalkan.
Mahfuz menyifatkan kepincangan pengurusan dan pentadbiran negara ini sebagai sesuatu yang sangat serius.
"Bukan sahaja rakyat yang jadi bingung, malah ia menakutkan pelabur-pelabur asing untuk datang ke Malaysia," kata Mahfuz.
Mengulas lanjut tentang kacau-bilau yang semakin dirasai rakyat itu, Mahfuz berkata, kekerapan Rosmah mengadakan lawatan yang digambarkan rasmi ke luar negara serta liputan yang begitu luar biasa kepadanya, terutama di dalam TV, menjadikan Najib seolah-olah kelihatan seperti suami Perdana Menteri.
"Di sisi yang lain pula, kekerapan Dr Mahathir membuat kenyataan berkenaan Umno dan kerajaan serta kekerapan kroni-kroninya mendapat projek-projek besar memperlihatkan seolah-olah Dr Mahathir masih Perdana Menteri.
"Malah, walaupun cuba disembunyikan, orang-orang Umno sendiri yang mendedahkan bahawa Najib kelihatan begitu takut kepada pengaruh Dr Mahathir dan Muhyiddin pula dikatakan semakin mendapat manfaat dari pengaruh besar bekas Perdana Menteri yang paling lama berkuasa itu," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sebab itulah, kata Mahfuz lagi, sumber-sumber Umno tersebut tidak hairan apabila Muhyiddin membuat kenyataan mahu pilihan raya diadakan tahun ini juga sedangkan Najib lebih cenderung mengadakannya apabila tamat penggal tahun depan.
Mahfuz berkata, sumber-sumber Umno memberitahunya bahawa Najib kini semakin ditinggalkan oleh tokoh-tokoh lain dan semakin keseorangan malah dilihat sebagai liabiliti parti itu.
"Apa yang Najib tahu dan suka buat hanyalah membuat pengumuman dan pelancaran sana-sini.
"Dengan hanya dukungan yang hanya lakonan dan tanpa dukungan yang sebenarnya dari tokoh-tokoh yang benar-benar berkuasa dan makin berkuasa seperti Dr Mahathir dan Muhyiddin, sumber-sumber Umno itu berkata Najib hanyalah Perdana Menteri syok sendiri," kata beliau.
Di peringkat bahagian-bahagian pula, kata Mahfuz, Umno berpecah kepada empat kem iaitu kem Dr Mahathir, kem Muhyiddin, kem Najib dan kem ahli-ahli Umno yang semakin meluat dengan kerakusan para pemimpin parti itu.
Beliau percaya, ahli-ahli Umno yang semakin meluat dengan kerakusan para pemimpin mereka itu mungkin akan memberi satu lagi kejutan dalam pilihan raya akan datang.harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan