Ahad, 1 Julai 2012

Siapa ancam Melayu dan Islam?

Oleh Hafiz Zainuddin
Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang




Malaysia dibangunkan hasil dari persepsi yang kabur dan negatif. Dari ketakutan yang dicerna, dari aspirasi palsu yang disengajakan. Semua ini demi survival parti yang memerintah.

Lihat bagaimana kita, ibu bapa, isteri suami, anak-anak, teman dan taulan mungkin pernah dipisahkan untuk bersama dengan kaum lain di kawasan perumahan, di sekolah, di tempat kerja, di universiti tempatan akibat rasa terancam dan penelitian yang buruk sangka.

Kita harus ingat bagaimana suara-suara demokrasi dibungkam dengan pelbagai akta zalim. Para aktivis dan pejuang disumbat ke penjara serta ditohmah sebagai pengkhianat negara dan ejen asing. Semua itu bohong tapi sehingga kini masih terus kedengaran.

Kerajaan UMNO-Barisan Nasional mencipta persepsi dan ada kalangan rakyat yang percaya telah khayal dengan dongeng mereka melalui media arus perdana. Ia disebarkan pula dengan sembang kedai kopi, gosip pejabat dan sikap segolongan penguasa yang tidak selesa untuk bersama dengan kaum-kaum lain.
Semua persepsi negatif ini telah membuahkan rasa takut, terancam, bebal, sedih, marah tanpa perlu berlandas pada kebenaran.

Oposisi digelar ‘syaitan’

Saya masih ingat lagi komedi bersiri RTM Hikayat Hang Setia awal tahun 1990-an. Saya masih kecil dan ini siri kesukaan saya. Sehingga sekarang lagu temanya masih tersemat dihati. Antara lain ia berbunyi “Hantu jembalang aaaa, banyak berkeliaran, dia cuba menghasut, perpaduan rakyat, rupanya macam manusia, perangai macam syaitan…dalam hikayaaaat haaang seeetiaaaa….!”

Saya tidak faham apa maksud lirik tersebut sehinggalah mendapat pencerahan dua puluh tahun kemudian. Saya bersyukur saya masih mengingatinya. Sitkom bersiri terbitan RTM ini berlatarbelakangkan masyarakat pelbagai kaum yang cuba mencipta persepsi yang kalau tidak salah saya bermesejkan: “Hey oposisi, kau jangan ganggu rakyat!”

Penerbitan sitcom ini boleh dikaitkan dengan penubuhan parti Semangat 46 oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang kemudiannya bergabung dengan PAS, BERJASA, HAMIM dan KIMMA untuk membentuk Angkatan Perpaduan UMMAH serta Gagasan Rakyat bersama DAP dan PBS untuk pilihan raya umum tahun 1990.

Makanya, sitcom Hang Setia terbitan RTM ini cuba menggambarkan kepada rakyat bahawa gabungan oposisi sebagai ‘syaitan’, jahat, penghasut dan sebagainya.

Di sebalik persepsi terhadap DAP

Sebab ikon DAP bernama Lim Kit Siang, orang yang tidak kisah mengenai wabak rasuah yang membusuk di negara ini, orang yang tidak peduli pada masalah jenayah yang menghampiri klimaks, orang yang tidak ambil tahu perihal politik dan kezaliman yang berlaku, bila ditanya pendapat mereka mengenai DAP, mereka berkata bahawa DAP itu anti-Melayu dan anti-Islam.

Bagi golongan ini, mereka beranggapan sedemikian bukan kerana DAP itu parti pelbagai kaum, bukan kerana DAP parti yang sah di sisi undang-undang dan bukan kerana DAP akur kepada Perlembagaan Persekutuan.

Mereka berkata DAP anti-Melayu, anti-Islam semata-mata kerana melihat wajah-wajah pemimpin dari kalangan orang Cina.

Ini semua pandangan stereotaip, kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr. Maszlee Malik. Ia yang wujud semata-mata akibat persepsi yang disuap setiap hari oleh Utusan Malaysia dan TV3.

Kalau begitulah kiranya percaturan pada akal budi kita, bagaimana pula dengan Lim Guan Eng yang dipenjarakan akibat membela seorang gadis Melayu dan keluarganya di Melaka suatu masa dahulu? Bukankah gadis itu dikatakan menjadi mangsa kerakusan seorang pemimpin Melayu?

Ini kerana persepsi tidak perlu mempunyai bentuk dan struktur seperti fakta. Persepsi lebih mudah dicerna dan dihadam. Ia mudah ditelan begitu sahaja sama seperti kisah tragedi 13 Mei 1969 yang meletakkan negara dalam darurat.

Masih ramai orang Melayu percaya bulat-bulat cerita ‘Cina nak halau Melayu’ tanpa baca terlebih dulu catatan Tunku Abdul Rahman yang menjadi saksi sewaktu almarhum sebagai Perdana Menteri ketika itu. Pun ramai yang percaya Lim Kit Siang terlibat walau beliau berada jauh di Sabah sewaktu kejadian berlaku. Malah, hari ini, ada manusia kurang cerdik yang mahu melibatkan Lim Guan Eng, yang berusia 8 tahun pada 1969, semata-mata kerana mahu menabur fitnah benci pada DAP.

Benarkah Islam ganas?

Mungkin ada antara kita yang tidak sedar bahawa persepsi wujud dalam dua keadaan yang berbeza. Itu berlaku dalam keadaan timbal-balik. Tumbangnya menara World Trade Centre di Amerika Syarikat pada 2001 menimbulkan dua persepsi yang bertentangan.

Dari satu sudut, ia dijustifikasikan sebagai gelombang kebangkitan Islam oleh sekelompok Muslim konservatif yang melihat keganasan sebagai jalan keluar. Seolah-olah runtuhnya WTC menyembah bumi dilihat sebagai kebangkitan ummah. Mereka tidak peduli sama ada ratusan juta umat Islam lain tidak menyokong kekejaman tersebut.

Dari sudut lain pula, peristiwa pada 11 September itu dijadikan alasan untuk kelompok konservatif Barat, termasuk segelintir Kristian, untuk menuduh Islam sebagai agama yang ganas, bengis dan menakutkan. Apalagi Amerika Syarikat ketika itu di bawah pentadbiran George W. Bush yang memang dibayangi dosa korban rakyat Iraq serta jambang dan serban Osama Bin Laden.

Tragedi 911 memaparkan bukti berlakunya perubahan pemikiran (mutasi) hasil dari persoalan ‘apa itu Islam’ yang timbul akibat publisiti yang ekstrem terhadap pengganas yang ekstrem. Walau pun masih ada masyarakat Barat yang benci Islam, makin ramai pula yang kini berlumba-lumba untuk mengenali lebih dekat kepada Islam setelah menyedari persepsi negatif maha dahsyat terhasil akibat serangan tersebut telah menimbulkan ketegangan di antara Muslim dan bukan Muslim.

Ramai di Barat semakin menyedari Islam itu memperjuangkan keadilan, mempertahankan hak asasi, dan dalam konteks hari ini, tidak menentang, malah banyak persamaan dengan demokrasi, kedaulatan undang-undang (rule of law) dan urus tadbir baik (good governance). Malah ramai sudah sedar Islam menentang rasuah, korupsi, salah guna kuasa dan perkauman (assibiyah).

Apa yang UMNO-BN lakukan untuk Islam?

Adakah persepsi mengenai Islam yang sebegini difahami di Malaysia? Atau tindak-tanduk manusia penguasa atas nama Islam telah menimbulkan persepsi Islam terhadap umat Islam dan mereka yang berlainan agama?

Yang menjadi masalah bukan soal agama, bukan Islam itu sendiri yang menjadi persoalan. Yang menimbulkan persepsi ialah orang Islam yang diberi amanah untuk mentadbir. Di Malaysia hari ini, walau pun ramai umat Islam bersifat dan bersikap amanah, jujur, ikhlas dan baik hati, ada pula yang menggunakan kuasa yang diberi kepada mereka untuk menghalang kebebasan, menyekat hak dan mengamalkan rasuah.

Tuduhan korupsi, termasuk yang telah dihadapkan ke mahkamah dan yang telah terbukti bersalah, turut membabitkan pemimpin yang beragama Islam. Mereka yang berkuasa juga telah menggunakan amanah itu untuk mengharamkan perhimpunan aman BERSIH, mengharamkan buku-buku, mengharamkan tokoh agama memberi ceramah.

Juga pengharaman UiTM terhadap penggunaan perkataan ‘Islam’ kepada persatuan-persatuan mahasiswa sekitar tahun 2000, perobohan surau-surau di Terengganu, pemindahan guru-guru agama yang pro-oposisi ke negeri lain, penarikan bantuan dan peruntukan kewangan Sekolah Agama Rakyat, pemansuhan tulisan Jawi dan sebagainya yang tidak melambangkan kesyumulan Islam.

Malah, kuasa yang diberi bukan sahaja digunakan untuk mengekang dan memangsakan umat Islam tetapi juga rakyat Malaysia pelbagai kaum dan kepercayaan. Sejak sekian lamanya rakyat Malaysia yang menuntut hak dan memperjuangkan keadilan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Sehingga hari ini tidak ada seorang pun tahanan ISA dihadapkan ke mahkamah.

Persoalannya jelas, Islam tidak mengancam manusia tetapi ada orang beragama Islam yang telah menyalahgunakan amanah dan kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada mereka. Ini kebenarannya tetapi ia telah dikaburkan dengan persepsi akibat sikap manusia-manusia tertentu yang kemaruk kuasa.

Adakah DAP ancaman kepada Melayu, Islam?

Justeru, persoalan sama ada DAP mengancam Islam memang tidak timbul sama sekali. DAP menghormati hak asasi dan kebebasan agama, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta menjadi amalan global hari ini.

Aqidah tetap kukuh pada jiwa setiap Muslim. Pelaksanaan Islam dalam kerangka masyarakat dan negeri kita boleh lihat seperti di Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan walau pun yang mentadbir negeri-negeri tersebut bukan UMNO-BN.

Kerajaan negeri Pakatan Rakayat sentiasa berusaha semaksima mungkin dalam memberi pilihan dan khidmat yang yang lebih baik terhadap umat Islam dan seluruhnya walau pun dalam ruang bidang kuasa yang sangat terhad.

Pulau Pinang telah menjadi contoh di mana Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri telah memastikan umat Islam negeri mendapat pembelaan wajar melalui pelbagai usaha termasuk menambah peruntukan kewangan berkali ganda berbanding pemerintahan BN, menghargai guru-guru KAFA serta para huffaz, memberi peruntukan dan membela Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan melaksanakan tender terbuka yang telah membolehkan kontraktor Melayu Islam yang layak memenangi projek tanpa perlu kabel politik. Dan ini semua dilakukan tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.

Terpulanglah sama ada kebenaran mahu diterima atau persepsi palsu mahu dijadikan anutan. Jika kita tidak suka apa yang kita percaya disalahertikan atau ditohmah orang lain, maka tepuk dada tanya selera. – Roketkini.com

8 ulasan:

mantera berkata...

isu2 agama dan bangsa ini sensitif,, jgnlah mainkan isu ini.

mantera berkata...

kita dalam hidup pelbagai kaum dan agama harus saling hormat menghormati.

Sanih Alias berkata...

Setiap orang ada lakonan mereka sebenarnya. Tapi kita tidak tahu sangat benar atau tidak Guan Eng ini jujur atau tidak kepada Melayu.

Unknown berkata...

Rakyat 1Malaysia tidak membezakan agama dan bangsa seseorang dalam pergaulan mahupun perjuangan.

Unknown berkata...

Tanya diri sendirilah siapa yang sebenarnya suka mainkan sentimen kaum dan agama?? Tidak payah mahu tuduh2 pihak lain.

Mumbai berkata...

penulis sendiri yang membangkitkan isu Islam dan perkauman di sini.. penulis patut sedar, dengan membangkitkan isu sensitif ini di media2 politik, tentunya akan menarik perhatian rakyat untuk menyelami isu ini yang mana kadang kala boleh membawa kepada unsur2 provokasi kaum..

Mumbai berkata...

demokrasi sangat ka Pakatan sehingga sanggup memecat hassan ali dan tunku aziz? itukah contoh parti yang kononnya memperjuangkan kebebasan bersuara?? tidak mustahil, jika pakatan memerintah negara ini, suara rakyat yang menentang pentadbiran mereka juga akan disekat dengan menggunakan pelbagai cara.. mungkin lebih kejam dari BN..

Mumbai berkata...

berkenaan dengan menghasut, siapa yang menghasut rakyat untuk turun ke jalanraya melakukan provokasi dan huru hara?? Nik Aziz sendiri mengaku bahawa beliau halalkan perhimpunan dan sanggup membayar peserta2 perhimpunan asalkan tujuan mereka adalah untuk menumbangkan kerajaan.. siapa PENGHASUT sebenarnya??