Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata, tema tersebut dianggap sebagai kempen pilihan raya Umno dan Barisan Nasional (BN) serta tidak sesuai digunakan pihak lain, khususnya di negeri Pakatan Rakyat (PR).
Sehubungan itu, Pas meminta agar menukar tema tersebut kepada yang lain kerana terlalu jelas memperlihatkan unsur politik yang tidak patut dicampuradukkan dengan sambutan hari bersejarah itu.
“Kalau tema seperti itu digunakan, ia akan dilihat pelik. Perkara ini terang sangat berbentuk kempen. Jadi, Tidak patut kerajaan guna tema tersebut dan ia sangat perlu ditukar,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.
Beliau berkata ketika mengulas mengenai ‘Janji Ditepati’ yang dipilih sebagai tema sambutan Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 31 Ogos depan.
Beliau turut menyokong kenyataan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang menyeru negeri ditadbir PR supaya tidak menggunakan tema Hari Kemerdekaan terbabit sebagaimana disiarkan dalam portal politik pembangkang.
Wan Sukairi berkata, kerajaan tidak patut menggunakan tema berunsur politik kerana Hari Kemerdekaan melibatkan sambutan umum.
“Kita menyokong kenyataan Naib Presiden Pas itu supaya negeri PR tidak menggunakan tema tersebut. Ia jelas berbentuk kempen. Sepatutnya, sambutan yang berbentuk kepartian dan patriotik ini perlu berbeza.
“Tidak sepatutnya semua sambutan yang dianjurkan memberi kredit kepada Umno dari semua segi sedangkan yang menyambutnya adalah masyarakat,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan