Selasa, 10 Julai 2012

Pakatan ajak Umno debat isu masyarakat India

Oleh Aedi Asri


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat (Pakatan) menyeru pemimpin kanan Umno dalam kalangan jemaah menteri berdebat secara terbuka berhubung masalah dan masa depan komuniti India.

Seruan itu disampaikan melalui kenyataan bersama oleh Naib Presiden KEADILAN, N Surendran; Ahli Biro Politik KEADILAN, R Sivarasa; Ahli Parlimen Teluk Intan, M Manogaran dan Ahli Majlis Pimpinan KEADILAN Pusat, S Manikavasagam.

Ia sebagai respon kepada cadangan debat antara pemimpin India Pakatan dan MIC.

Menurut mereka, debat dengan pemimpin MIC adalah sia-sia kerana parti itu yang patuh kepada Umno tidak ada apa-apa kuasa dan tidak mampu membawa perubahan positif serta pembangunan kepada komuniti India.

“Masalah yang dihadapi komuniti kaum India terpinggir adalah isu utama negara dan bukan membabitkan kaum India semata-mata.

“Jadi debat berhubung isu ini patut melibatkan pihak bertanggungjawab dan berkepentingan tanpa mengira kaum,” kata mereka lagi.

Tambah kenyataan itu, Umno merupakan pemegang kuasa sebenar dalam BN dan bersalah ke atas masalah serius dan tidak berkesudahan yang dihadapi komuniti India hari ini.

“Sudah sampai masanya Umno berhenti memperdayakan rakyat bahawa MIC dapat mewakili kaum India dan menyelesaikan pelbagai masalah seperti kemiskinan, kekurangan peluang pendidikan dan pekerjaan, kadar jenayah yang tidak seimbang, pemilikan kad pengenalan dan bahagian saksama dalam kekayaan negara.

“Justeru, kami menyeru Umno memberi maklum balas kepada jemputan ini dalam masa 48 jam, memandangkan masalah komuniti India sangat penting dan memerlukan tindakan segera,” kata mereka lagi.

KEADILAN dalam pada itu turut menolak debat antara pemimpin politik yang dianjurkan semata-mata di atas landasan kaum.

“Debat berlandaskan kaum adalah cerminan buruk politik perkauman dan ‘pecah dan perintah’ Umno BN dan ditolak sepenuhnya oleh Pakatan Rakyat,” tegas mereka lagi.

Tiada ulasan: