SHAH ALAM : Kerajaan Persekutuan didakwa tidak mengagihkan peruntukan secara adil terutamanya kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat sebaliknya memberikan peruntukan sesuka hati kepada negeri-negeri yang ditadbir oleh BN.
Ketika menjawab pertanyaan Dr Abdul Rani Osman (Meru-Pas) dan Gan Pei Nei (Rawang -PKR), Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, biarpun Selangor menyumbangkan kutipan bayaran cukai tinggi kepada Kerajaan Persekutuan namun bayaran pulangan yang diterima semula adalah rendah dan tidak bebrpatutan.
“Lebih RM10 bilion dikutip daripada rakyat Selangor tetapi jumlah terimaan daripada Kerajaan Persekutuan, kita dapat hanya RM562 juta sahaja.
“Jika dilihat dari kajian Melaka mendapat peruntukan lebih sedikit dari segi peratus berbanding Selangor atau Perak. Semasa Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Kedah dan Langkawi mendapat peruntukan yang sangat tinggi,” katanya.
Bagi mengatasinya, beliau berkata, cadangan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan telah dibangkitkan di Parlimen tetapi belum mendapat maklumbalas.
Tambahnya, sewajarnya negeri yang memperolehi perolehan cukai yang tinggi mendapat bayaran pulangan yang tinggi mengikut keperluan bagi pembangunan negeri tersebut.
“Jadi negeri yang bayar banyak boleh dapat lebih mengikut keperluan dan negeri yang bagi sedikit mungkin dapat kurang. Maka tidak perlulah sesebuah negeri itu tertunggu dan terpaksa melobi.
“Yang Berhormat Batang Kali (Mohd Isa Abu Kasim – BN) pernah menyatakan Kerajaan Persekutuan buat ini buat itu tetapi peruntukan itu tidak dijelaskan dan yang kedua adalah negeri ini bersetuju dengan pembangunan yang maknanya pembangunan itu bergerak selari,” katanya.
Amalan perbincangan itu, katanya, melibatkan Kerajaan Persekutuan dan Negeri telah dilaksanakan di negara Australia dan Kanada bagi pengagihan ke negeri-negeri demi tujuan pembangunan secara adil dan saksama.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan