Ahad, 22 Julai 2012

Lafaz 'Janji Ditepati' untuk janji yang mana?

Afif Bahardin


 
Ramai sedia maklum, "Janji Ditepati" menjadi platform utama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi melaungkan retoriktransformasi dan menjadi pentas untuk menyerang Pakatan Rakyat terutama sekali apabila "Janji Ditepati" singgah di negeri-negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor.

Tika “Janji Ditepati" menjadi jenama jelajah politik Perdana Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi apabila ia menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara yakni "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" - itu masalah!

"Janji" membawa maksud pernyataan kesediaan untuk berbuat atau memberi sesuatu; manakala "Ditepati" pula bermaksud tidak memungkiri atau memenuhi janji yang telah dilafaz. Jika "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara, makanya kita harus merujuk kepada janji yang mana? Adakah janji Program Transformasi Kerajaan (GTP), atau janji manifesto Cemerlang,Gemilang,Terbilang, atau janji Wawasan 2020?

Janji manakah yang telah dipenuhi dan tepati seperti dimaksudkan eksekutif hari ini?

Bagi berlaku adil baik untuk rakyat dan sang pemerintah, wajar kita menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke belakang iaitu tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan 'Merdeka' selepas beliau membacakan satu pemasyhuran keramat. Arakian pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam sejarah tanahair. Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada negara bangsa yang bebas dan merdeka. Maka tiada 'janji-janji' lain yang lebih layak untuk diangkat sebagai 'Janji' melainkan teks keramat - Pemasyhuran Kemerdekaan.

Ketika Pemasyhuran ini mula diperkenalkan, seluruh rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat ketika itu rata-rata menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut sebagai sesuatu yang amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai 'sijil kelahiran' negara merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen penting negara lain seperti 'Sumpah Pemuda 1928' di Indonesia, pidato 'Tryst with Destiny' oleh Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat idealismenya juga turut terhakis.

Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 menyebut:

"Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."

Jelas Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka, pemerintah Umno dan BN telah berjaya memenuhi atau menjunjung prinsip asas yang termaktub ini?

Amalan demokrasi yang matang dan baik haruslah mempunyai beberapa asas yang penting seperti suruhanjaya pengendali yang bebas dari segala bentuk tekanan politik, akses kepada media yang adil dan bebas, gelanggang politik yang sama luas' dan rata untuk semua pihak serta punya usaha yang efektif dan berterusan untuk melibatkan seluruh rakyat di dalam proses itu.

Perbezaan pendapat atau pandangan politik juga diraikan di dalam amalan demokrasi yang matang, dan lebih penting perdebatan mahupun wacana serius dan berterusan adalah penting dalam menjelaskan kebijakan atau apa jua agenda yang ingin dibawa oleh sesiapa dapat diketengahkan kepada umum dan diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak.

Dalam amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi, membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang apabila amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai dengan penyelewengan dan penipuan yang melampau.

Kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, 'gelanggang' yang tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta kebebasan media yang disekat - sekat; menunjukkan bahawa kerajaan Umno dan BN yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal untuk menepati 'janji' yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafaz Tunku Abdul Rahman.

Bagaimana pula dengan janji untuk menjunjung hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat seperti yang termaktub di dalam Pemasyhuran dan juga Perlembagaan negara? Saat artikel ini ditulis, mereka yang masih ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kem Kamunting masih lagi tidak dibebaskan, bahkan dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan pun masih tidak dibuat lagi.

55 tahun merdeka, kita dihantui undang-undang drakonian seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Mesin Cetak, Akta Hasutan, Akta Rahsia Rasmi dan beberapa akta dan juga Peraturan Polis. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjuarai transformasi, retorik pemansuhan akta seperti ISA, Akta Darurat dan juga beberapa akta lain. Malangnya transformasi yang dijanjikan masih tidak terlaksana dan sekadar indah khabar dari rupa.

Dengan kesedaran ini, tatkala slogan sambutan Kemerdekaan tanah air kali ke – 55 diumum sebagai ’55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’, tiada kata-kata yang lebih memualkan yang pernah lahir daripada Umno dan BN setakat hari ini.

Retorik politik sebegini rupa; mempergunakan sambutan nasional negara, sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan pujuk – rayu, bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi.

Tindakan Umno dan BN mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13 sebagai alat kempen adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru Umno dan BN ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi kepada Umno dan BN, maka, bagi mengenang jasa, rakyat perlulah meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah Umno dan BN. Rakyat diminta untuk tidak merenung jauh dan terima sahaja bahwa janji sudah dilaksana, oleh itu teruskan saja mengundi mereka menjadi kerajaan.

Perdana Menteri hari ini masih melaungkan Transformasi. Banyak wang dibelanjakan untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai bentuk laporan dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. Janji asas yang terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal ditepati oleh Umno dan BN.

Melihat retorik politik terbaru yang dilaungkan Umno dan BN hari ini (baca : 55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang termampu dilakukan oleh Umno dan BN. Kerajaan autokratik ini sudah tiada kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai apa yang kita panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka rakyat terimalah seadanya. Mana–mana suara yang menentang atau tidak senada dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.

Rakyat harus jelas akan janji yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali menoleh ke masa lampau – 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas ‘janji’ yang sama.
Janji ini dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman dan diuar-uarkan ke seluruh negara. Janji yang menjadi tiang seri tertegaknya negara ini termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan dan telah dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Janji tersebut bagaimanapun mutakhir ini kelihatan jarang–jarang sekali meniti di bibir, bukan hanya di kalangan rakyat terbawah, bahkan cuba ditepis jauh–jauh oleh mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa dan masa depan negara kita.

Selagi janji ini tidak ditepati, jangalah sesiapapun tanpa segan melaungkan bahawa tugas mereka sudah selesai. Janji ini akan terus kita tuntut, kerana saya dan anda semua tahu, janji yang ini masih lagi belum terlaksana;

“....dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa.”

- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957

Dr AFIF BAHARDIN merupakan Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang.

Tiada ulasan: