Ahad, 8 Julai 2012

Kenapa dengan Mahathirisme?

Oleh Mazir Ibrahim




Tun Mahathir Mohamad seorang tokoh politik yang sememangnya menarik dalam arena politik perdana di Malaysia. Beliau memimpin politik dan pentadbiran negara lebih 22 tahun. Jika pokok kelapa sawit yang ditanam, pasti sudah berbuah lebih dari dua puluh kali.

Bagi generasi 1980-an, pastinya ia menjadi benih yang masak ranum di kala ini. Sejarah hidup mereka adalah sejarah pemerintahan Mahathir.

Ketika bermulanya tahun 1980-an atau lebih tepat lagi 1981, dasar negara kita adalah satu dasar yang diilhamkan oleh beliau. Baik dasar ekonomi, pendidikan, sosial mahu pun budaya. Kesemua aspek ini adalah warna prima bagi dimensi negara Malaysia. Jika pelukis melukis di kanvas, warna-warna inilah yang akan diambil.

Kelahiran budaya kroni

Sungguh pun Dasar Ekonomi Baru diilhamkan pada sekitar 1970, tetapi di kala pemerintahan Mahathirlah maka munculnya jutawan-jutawan segera. Era 1970-an memberi impak kepada majoriti rakyat miskin khususnya kaum Melayu luar bandar, termasuk peneroka Felda. Era Mahathir menjadikan elit-elit kroni sebagai kumpulan yang didahulukan.

Bagaimana boleh munculnya tauke-tauke besar yang menjadi jutawan segera di zaman Tun M? Selain dari DEB, kemudian dengan Dasar Pandang ke Timur, muncul pula Dasar Penswastaan yang berjaya melahirkan jutawan segera yang menjadi kroni pemerintah.

Dasar Penswastaan ini seakan revolusi di Malaysia hinggakan di kala itu muncul istilah ‘drama swasta’ dalam slot rancangan televisyen. Niatnya mungkin baik tapi amalan dan kesannya buruk sekali.

Konsep penswastaan bagi Mahathir cukup mudah, iaitu dengan menswastakan aset atau milik negera yang sudah pun berjaya kepada pihak syarikat atau individu.

Bermula dengan Lembaga Letrik Negara (LLN), Jabatan Telekom, Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), Keretapi Tanah Melayu, Pos Malaysia dan banyak lagi.

Bertolak dari ‘revolusi’ ini, maka secara sistematiknya muncullah budaya rasuah di kalangan kakitangan kerajaan, ahli politik dan ahli perniagaan. Semua ini muncul adalah kerana tumbuhnya peluang perniagaan dan keuntungan ‘mee segera’.

Drama-drama Melayu juga mula terhasil melalui skrip dan cerita yang klise. Karya seni mula dihasilkan dengan ‘template’. Semua kerana ingin cepat mendapat pulangan tanpa peduli pada tanggungjawab moral dan estetikanya.

Dasar Pandang ke Timur yang diperkenalkan lebih awal rupanya hanya sebagai motivasi untuk cepat bekerja, bukan teliti bekerja. Ini jalan mudah yang diambil dan difahami oleh Mahathir. Akhirnya kerja memang siap tapi tak bermutu, yang melaksanakannya pula hanya mahu pulangan yang cepat.

Elemen-elemen Dasar Pandang ke Timur dan Dasar Ekonomi Baru dilunakkan lagi dengan gaya politik assabiyah (perkauman) UMNO dan Barisan Nasional. Maka lahirlah sistem kek ekonomi yang berasaskan pecahan kaum yang diutamakan kepada kroni.

Nilai-nilai Mahathirisme

Akhir sekali, DEB, Dasar Pandang ke Timur, Dasar Penswastaan dan politik assabiyah UMNO-BN telah dipakejkan dengan lebih lengkap apabila semua ini diasiosasikan dengan agama. Hasilnya – kuantiti lebih utama dari kualiti, yang tak boleh dikatakan boleh dan akhirnya mutu kerja hanyalah ‘mediocre’ (lebih kurang).

Maka bermulalah apa yang dikatakan ‘Mahathirisme’.

Bila ditanya tentang kemerdekaan – maka jawabnya hanya UMNOlah pejuang sebenar.
Bila ditanya tentang keadilan – maka jawabnya ketuanan Melayu.
Bila ditanya tentang persaingan – maka jawabnya itu hak keistimewaan orang Melayu.
Bila ditanya tentang seni dan kebudayaan – maka jawabnya budaya Melayu adalah budaya
Malaysia.
Jika ditanya tentang filem, muzik, sastera – maka jawabnya hanya sebagai hiburan yang ringan.
Bila mengkritik UMNO – maka pengkritik itu dituduh menghina Melayu, mengutuk Islam.
Bila mengkritik Mahathir – maka pengkritik dituduh pengkhianat negara yang memalukan negara.
Inilah nilai dalam Mahathirisme.

Cegah sebelum parah

Jika ada yang masih tidak faham lagi, tunggulah sehingga sampai satu masa kelak apabila kata-kata ini “aku berhak kerana aku Melayu” akan menjadi frasa seharian. Ketika itu tiada gunanya lagi kerana kewarasan akal kita sudah hilang entah ke mana.

Mahathirisme adalah fahaman assabiyah bercampur kronisme ditambah pula dengan tidak boleh ditegur serta sikap la’ih dan lebih kurang yang tidak membawa kita ke mana-mana kecuali syok sendiri. Jika diadun pula dengan amalan rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran, maka lengkaplah definisi Mahathirisme.

Kita menolak fahaman Mahathirisme bukanlah kerana manusia itu bernama Tun Mahathir, sebaliknya kita tolak fahaman ini kerana ia amalan dan budaya buruk yang boleh menjerumuskan bangsa Malaysia menjadi bangsa jahiliyah. – Roketkini.com

1 ulasan:

Mohd Yusof Tawil berkata...

Pandangan ini hanya berlaku (untuk perenggan anda yang terakhir)

Jika anda bukan Melayu

dan jika anda bukan Islam