Isnin, 9 Julai 2012

DAP90: Politik Najis Umno - Mahfuz

Abdul Aziz Mustafa,
KUALA LUMPUR: Dakwaan kononnya DAP akan bertanding di 90 kawasan Parlimen adalah satu lagi bukti politik najis Umno, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
 
(Keakrapan yang cuba dileraikan Umno)

"Umno terlalu terdesak kerana takut kehilangan kuasa sehingga pendakyah utama parti itu tidak merasa bersalah sedikit pun bermain politik kotor.

"Ini satu lagi politik najis Umno," kata beliau ketika menolak pembohongan Utusan Malaysia kononnya DAP bakal menjadi parti paling dominan dalam Pakatan Rakyat (PR) selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) parti itu didakwa oleh akhbar tersebut akan bertanding di 90 kawasan Parlimen.

Ketua anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang yang turut serta dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan berkata, jumlah 90 kerusi tidak pernah timbul dalam mana-mana perbincangan.

Paling banyak, DAP hanya akan bertanding 60 kerusi, kata beliau.

Sementara itu, Mahfuz yang juga anggota Parlimen Pokok Sena menyifatkan pembohongan itu sebagai sebahagian dari politik perkauman Umno.

Ia akibat dari ketakutan yang amat sangat untuk menghadapi kesedaran semakin ramai rakyat yang tidak sabar-sabar untuk menolak Umno dalam pilihan raya akan datang.

"Ketika Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah berputus asa sama sekali untuk mendapatkan undi dari kaum Cina terutamanya, ia kini semakin cemas apabila melihat semakin ramai orang Melayu yang menyokong PR.

"Sudah tentu Umno mendapat laporan bahawa semakin ramai orang Melayu yang sakit hati kepadanya dan tidak sabar-sabar lagi menanti pilihan raya umum untuk mengajar parti itu," kata Mahfuz sambil memberitahu peningkatan sokongan orang-orang Melayu kepada PAS dan PKR semakin konsisten.

"Jumlah kehadiran orang-orang Melayu ke majlis-majlis dan program-program kita semakin bertambah termasuk di Johor.

"Peningkatan keahlian baru PAS contohnya begitu konsisten dan tidak pernah berkurangan," katanya.

Untuk menghadapi keadaan itu, Umno mencipta pelbagai pembohongan untuk menakut-nakutkan orang Melayu kepada PR.

"Umno yang selama ini menggadai dan mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu cuba menggambarkan para pemimpin Melayu dalam PR juga akan menggadai kepentingan orang-orang Melayu seperti yang dilakukannya.

"Pencuri sentiasa menuduh orang lain pun akan mencuri seperti dia,

"Umno yang mengkhianati Melayu tak henti-henti cuba memfitnahkan PR juga akan mengkhianati Melayu seperti yang dilakukannya," kata Mahfuz (gambar).

Dalam perkembangan berkaitan, DAP menyangkal laporan muka depan akhbar Utusan Malaysia itu.

"Karut, karut, karut!" Malaysiakini memetik Ketua Pemuda DAP, Anthony Loke, yang turut terbabit dalam rundingan agihan kerusi bagi parti komponen Pakatan.

"(Bilangan kerusi yang ditandingi) DAP adalah yang paling sedikit di kalangan tiga (parti komponen Pakatan). Rundingan masih berjalan tetapi ini tidak benar sama sekali," katanya sambil menambah bahawa parti itu mendapat kerusi paling kurang di setiap negeri kecuali Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.

Loke, yang juga Ahli Parlimen Rasah, berkata "laporan yang berniat jahat" itu adalah satu lagi percubaan untuk menakut-nakutkan orang Melayu.

Tiada ulasan: