Ahad, 8 Julai 2012

Biar tarikh PRU13 lunak

TAN SRI ABDULLAH AHMAD 
 
(K) TAN SRI ABDULLAH AHMAD

Euro 2012 sudah selesai, Olimpik menunggu dan rakyat Malaysia menanti PRU13 – selepas hari raya puasa atau selepas bajet 28 September ini? Bila pun pengundi sanggup menunggu bagi menunaikan kewajipan mereka.

Jendela bagi Perdana Menteri Najib Tun Razak makin sempit dalam kalendar semasa tetapi tempoh pentadbiran Najib hanya tamat awal Jun 2013, bukan seperti disangka ramai, 10 bulan lagi.

Dalam sejarah pilihan raya umum kita, tidak pernah berlaku kerajaan penuhi tempoh lima tahun kecuali 1969 kerana Peristiwa 13 Mei pilihan raya hanya diadakan Ogos 1974, pilihan raya umum Tun Razak pertama sebagai Perdana Menteri.

PRU13 adalah pilihan raya umum anaknya Najib yang pertama sebagai Ketua Kerajaan dan Presiden Umno. Pendeta politik Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Najib, “Habiskan mandat kerajaan sekarang untuk buktikan kebolehan dan keprihatinan BN dannya kepada rakyat.

Kalau ini berlaku ia adalah suatu keputusan yang baik (bijak)”. Saya bersependapat dengan Dr Mahathir. Najib harus tertarik dengan cadangan ini. Semenjak pulang daripada sabatikal saya sudah bertemu dengan tiga MP Pakatan, dua pemimpin BN – kesemuanya mengadu “letih” menanti teka-teki PRU13.

Mereka ini bukan pemimpin calang-calang. Seorang dari Pakatan ahli Biro Politiknya. “Tan Sri, sudah capek menunggu!” Bisik Speaking: “Tire them out, or, make them exhausted – biar mereka letih berkempen dan ‘mentiradekan’ (dalam bahasa Melayu moden) atau bahasa Melayu lama mencerca, hentam dengan kesat, menggerutu sehingga mereka lesu”.
Jadikan mereka lemas dengan kritikan (adil atau sebaliknya), tuduhan (palsu atau benar) yang panjang dan berang sampai kehabisan modal.

Namun waspada satu minggu dalam politik satu jangka masa yang panjang – pelbagai, di luar dugaan, boleh berlaku. Najib telah menyebut Euro 2012, PRU13 dan politik, bukan secara sipi-sipi. Maksudnya terang dan jelas: “Sepanyol tanpa striker berjaya membelasahkan Itali 4-0.

Sepanyol dengan enam pemain midfielders (pertahanan) yang semuanya boleh menyumbatkan gol menang kerana Sepanyol telah menggunakan satu formasi yang terang Speaking, ‘unconventional, untested but it led them to win the championship – yakni yang menggunakan kaedah yang bukan lazim tetapi berjaya.’”

Dalam apa pun pekerjaan, tindakan, sukan dan pilihan raya kesimpulannya kita mahu menangkan? Pakailah kaedah yang boleh menewaskan lawan.

Sungguhpun Najib tidak secara langsung berkata strategi Sepanyol akan pastikan kejayaan dalam PRU13, saya kira, kita boleh rumuskan kalau Umno – BN fleksibel, tidak terikat sangat dengan adat/tradisi dan preceden memilih calon, masa pembubaran Parlimen, Umno – BN berpeluang besar berjaya seperti Sepanyol.

Itali seperti Pakatan Rakyat (yang difansikan oleh Cina dan sebilangan Melayu) akan kalah. Kalau tidak pun teruk, di luar jangkaan mereka. Saya suka tegaskan tanpa bosan, keinginan dan realiti tidak sama kecualilah wujud keadaan luar biasa seperti 8 Mac 2008. Apa pun, bila PRU13 berlangsung, tahap kesihatan ekonomi kita, kaliber serta persepsi rakyat pada calon dan juga di peringkat mana perasaan “feel good” pengundi dan warganegara akan menentukan keputusan PRU13.

Dalam pentadbiran, politik, pilihan raya, perang, cinta, bisnes semuanya “fair game” yakni jarang berlaku “fair play”. Ini lumrah dalam kehidupan apalah lagi kini. Kalau semuanya adil masakan injustice yakni ketidakadilan sering berlaku?

Ini satu soalan setiap manusia patut bertanya, tetapi saya sering perhatikan amat sukar keluar dari mulut manusia. Kerana itu pemerintah dan pemimpin berani, tamak haloba.

Kita dan lebih separuh dunia tamadun menggunakan sistem demokrasi ala Westminster bukan presidential system. Saya tidak bersetuju kita pendekkan atau panjangkan hayat Parlimen. Sistem sekarang memberi Perdana Menteri - siapapun – budi bicara bila dia mahu bubarkan Parlimen.

Tiada cacat, tiada cela sistem Westminster ini yang telah digunakan di United Kingdom beratus tahun lamanya. Zaman perang saudara di England (English Civil War) parliamentarians yakni Ahli Parlimen adalah penyokong kuat ketuanan dan kedaulatan rakyat (maknanya Parlimen).

Jelas Speaking: “People were either parliamentarians or royalists (supporters of the Crown ).” Kita – semenjak pilihan raya umum pertama Julai 1955 yang mempercepatkan kemerdekaan – dapati sistem ini senang dan mudah.

Dan kenapa pula kita mahu “pinda” - pendek atau panjangkan hayatnya? Lebih bijak kalau kita kekalkan sistem yang telah teruji ini. Mentang-mentang sudah ramai orang kita masuk dan keluar kilang pendidikan tinggi, kita mahu tukar dan bina, itu dan ini.

Menang kalah pilihan raya lazimnya kerana dasar, matlamat sebuah parti/kerajaan juga persona dan ketokohan pemimpin tertinggi dan sekutunya. Kalau tidak pandai menari jangan salahkan lantai. Kalau gagal dalam pilihan raya, jangan salahkan proses pemilihan itu.

Jika proses itu lapuk atau tidak adil jangan masuk bertanding. Pas, melalui sistem yang wujud telah menang di Kelantan dalam semua pilihan raya kecuali pilihan raya umum 1978.

Kalau kelakuan seseorang itu biadab sangat, tiada sopan santun jangan jadikannya menantu. Jika rupanya tidak molek sangat tetapi dia beradab, berbahasa dan berbudi kahwinilah dia.

Tiada ulasan: