Ramai sedia maklum, "Janji Ditepati" menjadi platform utama Perdana Menteri, Najib Razak dalam jelajah ke seluruh negara bagi melaungkan retorik transformasi dan menjadi pentas untuk menyerang Pakatan Rakyat terutama sekali apabila "Janji Ditepati" singgah di negeri - negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat iaitu, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Jika “Janji Ditepati" menjadi jenama jelajah politik Perdana Menteri, saya tiada punya masalah, tetapi apabila ia menjadi tema sambutan Kemerdekaan negara yakni "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati" - itu masalah!
Bagi berlaku adil baik untuk rakyat dan sang pemerintah, wajar kita menyoroti kembali latar masa sejarah, 55 tahun ke belakang iaitu tanggal 31 Ogos 1957, tarikh keramat di mana Tunku Abdul Rahman melaungkan "Merdeka" selepas beliau membacakan satu pemasyhuran keramat. Arakian pemasyhuran tersebut menandakan detik perubahan dalam sejarah tanahair. Beralihnya dari status sebuah negara terjajah kepada negara bangsa yang bebas dan merdeka. Maka tiada "janji-janji" lain yang lebih layak untuk diangkat sebagai "Janji" melainkan teks keramat - Pemasyhuran Kemerdekaan.
Ketika Pemasyhuran ini mula diperkenalkan, seluruh rakyat diminta membaca dan menghayatinya. Rakyat ketika itu rata-rata menyebut bahawa isi kandungan pemasyhuran tersebut sebagai sesuatu yang amat bernilai, sesuatu yang diibaratkan sebagai "sijil kelahiran" negara merdeka. Malangnya, berbeda dengan dokumen penting negara lain seperti "Sumpah Pemuda 1928" di Indonesia, pidato "Tryst with Destiny" oleh Jawaharlal Nehru, Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika Syarikat yang dikarang Thomas Jefferson; pemasyhuran negara ini telah karam hampir tidak dibaca, apatah lagi diwacanakan secara serius. Apa yang penulis paling khuatiri adalah dengan pudarnya dakwat pemasyhuran, maka semangat idealismenya juga turut terhakis.
Apa yang disebut di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan,
"Dan bahawasanya kerana Perlembagaan Persekutuan yang tersebut itu, maka, ada disediakan syarat untuk menjaga keselamatan hak-hak dan keutamaan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja serta hak-hak asasi dan kebebasan sekalian rakyat dan untuk memajukan Persekutuan Tanah Melayu dengan aman dan damai serta teratur sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai Raja yang Berperlembagaan yang berdasarkan demokrasi cara Parlimen."
- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957 -
Jelas Pemasyhuran Kemerdekaan menyebut akan prinsip asas pembentukan negara bangsa Malaysia ini adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan, amalan demokrasi berparlimen dengan penekanan khusus diberikan dalam menjamin hak asasi dan kebebasan rakyat di negara ini terpelihara. Sekali lagi kita tertanya, apakah 55 tahun merdeka, pemerintah UMNO dan Barisan Nasional telah berjaya memenuhi atau menjunjung prinsip asas yang termaktub ini?
Dalam amalan demokrasi di Malaysia, adalah salah apabila rakyat masih dimomokkan dengan hujah bahawa setiap lima tahun kita mengundi, membuktikan amalan demokrasi sudah terlaksana. Walhal proses demokrasi itu harus berterusan sehari-hari dan menjadi amalan kerajaan untuk melibatkan rakyat secara aktif di dalam proses itu. Lebih malang apabila amalan pilihanraya setiap lima tahun itu juga turut dinodai dengan penyelewengan dan penipuan yang melampau. Kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya memastikan daftar pemilih dikemaskini dan bersih dari pengundi dicurigai, amalan politik wang yang membarah, "gelanggang" yang tidak sama rata antara parti pemerintah dan parti pembangkang, serta kebebasan media yang disekat - sekat; menunjukkan bahawa kerajaan UMNO dan Barisan Nasional yang telah memerintah sejak 55 tahun lepas gagal untuk menepati "janji" yang dimeterai bersama Pemasyhuran Kemerdekaan yang dilafaz Tunku Abdul Rahman.
Dengan kesedaran ini, tatkala slogan sambutan Kemerdekaan tanah air kali ke-55 diumum sebagai "55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati", tiada kata-kata yang lebih memualkan yang pernah lahir daripada UMNO dan Barisan Nasional, setakat hari ini. Retorik politik sebegini rupa; mempergunakan sambutan nasional negara, sambutan yang sepatutnya menjadi hak milik seluruh rakyat, sebagai alat untuk parti pemerintah melaungkan "pujuk-rayu", bukan itu saja, bahkan dengan berani melaungkan bahawa inilah masa untuk segenap rakyat membalas budi.
Tindakan UMNO dan Barisan Nasional, mempergunakan sambutan Kemerdekaan yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke 13, sebagai alat kempen, adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab, memalukan dan memualkan. Strategi terbaru UMNO dan Barisan Nasional ini membuktikan betapa mereka terdesak untuk mendapatkan sokongan rakyat. Konotasi seolah-olah rakyat terhutang budi kepada UMNO dan Barisan Nasional, maka, bagi mengenang jasa, rakyat perlulah meneruskan kesinambungan kepimpinan kerajaan di bawah UMNO dan Barisan Nasional. Rakyat diminta untuk tidak merenung jauh dan terima sahaja bahwa janji sudah dilaksana, oleh itu teruskan saja mengundi mereka menjadi kerajaan.
Perdana Menteri hari ini masih melaungkan Transformasi. Banyak wang dibelanjakan untuk Program Transformasi Kerajaan (GTP), dengan berbagai bentuk laporan dikeluarkan. Hakikatnya rakyat sedar. "Janji" asas yang terkandung di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan, sehingga hari ini gagal ditepati oleh UMNO dan Barisan Nasional. Melihat retorik politik terbaru yang dilaungkan Umno dan Barisan Nasional hari ini (baca:55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati), rakyat harus faham bahawa sebenarnya ini sajalah yang termampu dilakukan oleh UMNO dan Barisan Nasional. Kerajaan autokratik ini sudah tiada kemampuan dan iltizam untuk meneruskan atau menjuarai apa yang kita panggil perubahan. Pada mereka, semuanya sudah tepu, maka rakyat terimalah seadanya. Mana-mana suara yang menentang atau tidak senada dengan mereka, maka orang-orang ini adalah pengkhianat.
Rakyat harus jelas akan "janji" yang kita wajib tuntut. Rakyat perlu kembali menoleh ke masa lampau - 55 tahun lalu. Generasi pendiri negara bangsa Malaysia yang merdeka ini berdiri di atas "janji" yang sama. "Janji" Yang dibacakan pertama kalinya oleh Tunku Abdul Rahman. "Janji" yang diwar-warkan ke seluruh negara. "Janji" yang menjadi tiang seri tertegaknya negara kita ini. "Janji" yang termaktub di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan. "Janji" yang telah dijamin Perlembagaan Persekutuan. "Janji" yang mutakhir ini kelihatan jarang-jarang sekali meniti di bibir, bukan hanya dikalangan rakyat terbawah, bahkan cuba ditepis jauh-jauh oleh mereka yang telah kita amanahkan dengan kuasa dan masa depan negara kita. Selagi "janji" ini tidak ditepati, jangalah sesiapapun tanpa segan melaungkan bahawa tugas mereka sudah selesai.
"Janji" ini akan terus kita tuntut, kerana saya dan anda semua tahu, "janji" yang ini masih lagi belum terlaksana;
"....dengan limpah rahmat Allah subhanahu wa ta'ala akan kekal menjadi sebuah negara yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara segala bangsa."
- Pemasyhuran Kemerdekaan, 31 Ogos 1957 –
*Dr.Afif Bahardin ialah Naib Ketua Angkatan Muda KEADILAN Pulau Pinang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan