KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat tidak mempunyai hak untuk menghalang laporan minoriti daripada dimasukkan ke dalam laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Penambahbaikan Pilihan Raya, kata wakil Pakatan Rakyat (PR).
Ahli Jawatankuasa PSC, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) berkata, usul pindaaan dikemukakan kepada Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah ditolak tanpa sebarang alasan kukuh.
“Kita minta supaya keputusan itu diteliti semula kerana tiada peraturan dari mana-mana peraturan mesyuarat yang menghalang Speaker untuk membolehkan laporan minoriti dimasukkan dalam laporan terakhir PSC.
“Walaupun pada awalnya Speaker mengaitkan beberapa beberapa amalan di beberapa buah negara, tetapi kita telah kemukakan beberapa amalan yang turut dilaksana, malangnya ia ditolak,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.
Azmin berkata, pihaknya bersedia sekiranya majoriti Ahli Parlimen menolak laporan minoriti tersebut tetapi Speaker tidak boleh menggunakan kuasanya untuk halang laporan ini dibentangkan bagi tujuan perbahasan.
“Ini perkara pokok dan sebab itu, kita desak laporan minoriti ini mesti dimuatkan dalam laporan terakhir sebelum perbahasan bermula jam 2.30 petang.
“Isu dibangkitkan dalam laporan minoriti ini bukan perkara baru seperti dikatakan Speaker, ia isu penting yang telah kita bincangkan panjang lebar dalam jawatankluasa induk di peringkat btertinggi, tetapi semua perkara ini dipadamkan dalam laporan trakhir,” katanya.
Seorang lagi anggota jawatankuasa PSC, Loke Siew Fook (DAP-Rasah) berkata, mereka tidak berpeluang membentangkan laporan minoriti ini dalam PSC dan menyebabkan mereka terpaksa mambawanya untuk dibentangkan dan diputuskan di Parlimen.
“Perkara yang telah dipersetujui tidak dimasukkan dalam laporan minoriti dan perkara pokok dan paling penting berkenaan daftar pemilih dimasukkan dalam minoriti,” katanya.
Menurutnya, terdapat lima perkara berkaitan daftar pemilih yang dibuat secara khusus iaitu berkenaan dengan persempadanan semula kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) dan Parlimen tanpa persetujuan.
“Sejak Mac 2008 hingga suku ketiga 2011, SPR telah memindahkan 31,294 pengundi keluar dari kawasan pilihan raya mereka. Ini melanggar prinsip belah bahagi yang telah ditetapkan sendiri oleh SPR.
“Keduanya, melibatkan 42,000 senarai pengundi baru belum dibersihkan oleh SPR pada akhir tahun lepas dan ia belum dibersihkan sehingga hari ini,” katanya.
Selain itu berkenaan nama pengundi yang melebihi 100 tahun di mana kajian dijalankan mendapati 65,000 pengundi berusia 85 tahun ke atas dan terdapat 1,000 pengundi yang usianya melebihi 100 tahun.
Perkara keempat, menurut beliau, terdapat 15,000 nama pengundi yang didaftar dengan kad pengenalan berlainan jantina dan yang kelima, isteri anggota polis yang didaftarlkan sebagai pengundi pos.
“Kita dapati lebih kurang 4,500 isteri anggota polis yang didaftarkan jadi pengundi pos. Anggota tentera, isteri anggota tentera dan anggota polis sahaja yang layak jadi pengundi pos, manakala isteri anggota polis tidak layak jadi pengundi pos. Mereka sepatutnya jadi pengundi biasa,” katanya.
Dewan Rakyat semalam menolak usul Pakatan Rakyat untuk melampirkan laporan minoriti dalam laporan PSC.
Laporan minoriti merujuk kepada laporan bertulis oleh sekurang-kurangnya dua anggota jawatankuasa untuk mengesahkan pandangan mereka yang bertentangan dengan pendapat majoriti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan