Jumaat, 27 April 2012

Duduk Bantah bakal jadi perhimpunan mega sejarah

Sidiqin Omar


KUALA LUMPUR: Duduk Bantah pada perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka Sabtu ini, adalah mega sejarah kepada negara ini, kata Pengerusi bersama Bersih 3.0, Datuk A Samad Said.

“Duduk Bantah bukan cebisan sejarah, bahkan ia adalah mega sejarah,” kata Sasterawan Negara itu ketika ditemu bual aktivis sosial, Hishamuddin Rais di konti Radio Bangsar Utama, malam tadi.

Radio Bangsar Utama adalah radio internet bertema Berani Langgar, Laporan Jelas yang diwujudkan baru-baru ini, sempena Bersih 3.0 dan Pilihan Raya Umum (PRU) 13.

Mesra dengan panggilan Pak Samad, beliau percaya himpunan itu sememangnya menjadi hasrat majoriti rakyat Malaysia.

“Selama 54 tahun pilihan raya di negara ini – landasnya tidak betul. Ya, Bersih 3.0 lebih payah untuk ‘dilanggari’ (pemerintah),” katanya yang optimis dengan sokongan padu rakyat.



Ditanya pengalaman menyertai demontrasi ketika muda, beliau mendedahkan pengalamannya menyertai perhimpunan menyelamatkan akidah Natrah Hertogh dalam usia lingkungan 20 tahun di Singapura pada 1950.

“Saya tidak punya peranan besar tapi saya ikut, dan sangat bersemangat,” kata penulis novel Salina, Hujan Pagi dan banyak lagi karya terkenal.

Sasterawan Negara berusia 77 tahun itu turut menegur golongan seniman yang ‘diam’ dan tidak mahu menempatkan diri dalam perubahan.

“Sasterawan menggunakan penulisan. Dan puisi sudah jadi senjata dan peluru. Kalau hanya merakam (sejarah), takkan sampai ke mana-mana,” katanya .

Katanya, seniman tidak wajar memencilkan diri dari perjuangan menegakkan sistem demokrasi, sebaliknya harus berdiri di barisan depan bersama rakyat.

“Seniman wajar ada di tengah-tengah gelora masyarakatnya,” katanya dalam temu bual kira-kira sejam dan turut mendeklamasi sajak ‘Merindu Ruang’.

Pak Samad  yang memetik nama beberapa penulis besar dunia, berkata penyertaan seniman dalam perhimpunan dan bantahan bukanlah perkara baru, sebaliknya berlaku di seluruh dunia

Tiada ulasan: