MALAYSIA KINI
SIARAN LANGSUNG
5.20pm
Simpang Jalan Tun HS Lee-Jalan Tun Tan Cheng Lock (berhampiran Pasar
Seni) - Anggota polis FRU kelihatan mula berehat-rehat selepas Unit Amal
PAS membuat pengumuman mengerahkan peserta BERSIH bersurai.
5:01pm JLN TAR Kelihatan 4 trak polis menuju Jln Chow Kit. Peserta tidak tunjukkan tanda-tanda mahu bersurai.
5.03pm JLN TAR Seorang gadis pengsan dan dibawa mendapatkan rawatan oleh St John Ambulance.
455pm JALAN TAR Tapak pasar malam, sekumpulan peserta BERSIH dan polis bertumbuk.
4.45pm Pistol polis dirampas peserta BERSIH di hadapan SOGO, menurut tweet polis.
4.19pm Jalan TAR - Sekumpulan orang ramai yang marah bertindak menterbalikkan kereta polis selepas ia didakwa melanggar peserta di situ.
4.10pm - Jalan TAR - Sekumpulan peserta duduk di sepanjang jalan TAR yang ditutup. Seorang penjual ais-krim laris perniagaannya apabila menjadi tumpuan peserta untuk menghilangkan dahaga mereka.
FRU melepas tembakan air bercampur kimia ke arah mereka di depan kedai Kamdar di Jalan TAR.
4.04pm Sebelum itu, beberapa wartawan yang berdiri di belakang FRU turut tertolak polis ke arah peserta ketika gas pemedih mata ditembak, mendedahkan mereka kepada gas yang memedihkan mata.
3.58pm Seorang lelaki berusia 35 tahun mengalami kesukaran bernafas berhampiran Dataran Maybank akibat gas pemedih mata. Dia pulih selepas diberi rawatan oleh pasukan perubatan.
3.58pm Masjid Jamek - Beratus-ratus peserta sedang berehat di taman di belakang Masjid Jamek untuk pulih daripada serangan meriam air dan gas pemedih mata.
3:49pm - JALAN RAJA LAUT Kira-kira 35 peserta BERSIH ditangkap dan dikumpulkan di hadapan bangunan DBKL.
Turut ditahan ialah seorang wartawan akhbar Cina Oriental Daily kerana disangka salah seorang penyokong.
Bagaimanapun, dia dilepaskan selepas polis mendapat dia sebenarnya wartawan akhbar berkenaan.
3:49pm Seorang peserta perhimpunan cedera di depan bangunan DBKL dan dibawa mendapatkan rawatan oleh St John Ambulance.
3.50pm Pusat membelibelah Sogo - Beberapa peserta berundur dari Dataran Merdeka di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan dikejar polis.
3.42pm Stesen LRT Dang Wangi - Selepas polis melepaskan tembakan gas pemedih mata di Jalan Tun Perak, beberapa peserta melarikan diri ke Jalan Dang Wangi dan Jalan Ampang.
Mereka dilihat berjalan ke arah KLCC melalui Jalan Ampang. Kebanyakan mereka dijangka pulang.
3:29pm Majlis Peguam - Selepas arahan untuk bersurai dikeluarkan, tembakan meriam air dan gas pemedih mata dilepaskan ke atas orang ramai di luar bangunan Majlis Peguam di Lebuh Pasar Besar.
3.24pm Masjid Jamek - Di hadapan stesen LRT orang ramai enggan berganjak dan melaungkan "BERSIH" walaupun gas pemedih mata dilepaskan ke arah mereka.
Mereka berundur setiap kali gas pemedih mata ditembak, tetapi kembali semula selepas itu.
3.20pm: Dataran Merdeka - kawat duri di Lebuh Pasar Besar dialih oleh orang ramai. Mereka kemudian mengalihkan penghalang plastik.
Kira-kira 30 anggota polis yang bersenjatakan cota, perisai dan topeng gas bergerak membentuk benteng.
Peserta dan polis kini bersemuka tanpa apa-apa di antara mereka. Ada yang bergambar manakala yang lain duduk di atas jalan menghadap polis.
Komander polis bagi kawasan tersebut duduk di atas trak polis dengan pembesar suara tetapi belum mengeluarkan sebarang arahan.
3.15pm - Lagi gas pemedih mata di tembak di kawasan Coliseum di Jalan TAR.
3.13pm - Sebahagian peserta berundur ke jalan Pudu ekoran tembakan gas pemedih mata.
3.10am Masjid Jamek - lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan berhampiran stesen LRT Masjid Jamek. Difahamkan beberapa peserta yang cuba melanggar larangan memasuki Dataran Merdeka, telah ditangkap.
3.08pm Polis terpaksa lepas gas pemedih mata apabila peserta cuba rempuh halangan, demikian menurut tweet polis.
3.01pm: Polis melepaskan tembakan gas pemedih mata dan meriam air di persimbangan jalan Tun Perak-Jalan TAR. Difahamkan polis bertindak demikian selepas ada peserta melanggar larangan memasuki Dataran Merdeka.
2.45pm Pasar Seni - Orang ramai mula bersurai di sekitar ibupejabat Majlis Peguam, yang dianggarkan sekitar 5,000 orang. Satu kumpulan masih berada di hadapan penghalang dan kawat duri yang memisahkan orang ramai dari Dataran Merdeka di seberang sungai.
Sekitar 50 anggota FRU bersiap sedia. Orang ramai menjerit slogan BERSIH serta "hancur Rosmah" dan "Buka Pintu".
2:34pm Masjid Jamek - Pengerusi bersama BERSIH Datuk S Ambiga berkata perhimpunan BERSIH 3.0 telah berjaya dan menggesa orang ramai supaya bersurai.
Bagaimanapun, orang ramai melaungkan "Dataran! Dataran!"
Sebelum ucapan Ambiga, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rakyat telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan politik kotor.
Anwar adalah sebahagian daripada kumpulan yang berarak dari Masjid Negara.
2.15pm: Puduraya - Kumpulan 10,000 dari Masjid Negara sampai ke Puduraya dalam perarakan panjang ke Dataran Merdeka.
2pm Masjid Jamek - Anggota jawatankuasa MCA bahagian Kelana Datuk Lee Hwa Beng dilihat berhampiran restoran McDonalds.
Katanya, beliau menyertai perhimpunan tersebut atas kapasiti peribadi dan MCA telah menyatakan dengan jelas bahawa ia tidak menghalang ahli daripada menyertainya.
Ditanya mengapa beliau menyertai perhimpunan tersebut, Lee memetik dari buku barunya - PKFZ: A Nation's Trust Betrayed - bahawa berdiam diri bukan lagi satu pilihan.
2pm Orang ramai kini bertumpu di tiga kawasan utama - Jalan Tun Perak (dari Masjid Jamek ke Dataran Merdeka), Lebuh Pasar Besar (berhampiran ibu pejabat Majlis Peguam) dan Masjid Negara di mana jemaah bersolat Zohor.
Ini bermakna Dataran Merdeka sudah dikelilingi sepenuhnya oleh orang ramai dari Utara dan Selatan.
Kumpulan lain dijangka menyertai mereka dari Masjid Negara selepas solat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan