Jumaat, 27 April 2012

Polis mungkin langgar undang-undang tolak lokasi Bersih



Pihak polis dan DBKL telah menolak penggunaan Dataran 
Merdeka sebagai lokasi Bersih 3.0. — Gambar fail
KUALA LUMPUR — Pihak polis mungkin telah melanggar peruntukkan dalam Akta Perhimpunan Aman 2011, yang mula dikuatkuasakan Isnin, apabila menolak permohonan Bersih mengadakan perhimpunan duduk bantah di Dataran Merdeka Sabtu ini.
 Putrajaya telah memberikan kebenaran untuk perhimpunan itu dijalankan, namun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan polis telah menolak perhimpunan 28 April itu, atas alasan ancaman keselamatan.

Pihak berkuasa itu telah mencadangkan Dataran Merdeka atau stadium terdekat lain, namun pemerhati pilihan raya itu berkeras mahukan Dataran Merdeka.

Menurut Seksyen 14 akta berkenaan, polis harus memberikan maklum balas kepada notis Bersih dalam tempoh lima hari, dan perhimpunan itu “boleh” dijalankan. Akta baru itu tidak membenarkan polis menolak permohonan mereka namun boleh mengenakan syarat terhadap penganjur perhimpunan, termasuk perkara berkaitan lokasi perhimpunan, masa, tarikh, dan sebagainya.

Menurut akta berkenaan, polis hanya boleh menggunakan kuasa mereka menahan atau menyuraikan peserta perhimpunan sekiranya penganjur atau peserta melanggar syarat-syarat tertentu.

Apabila perkara ini dibawa ke perhatian Datuk Ambiga Sreenevasan, Pengerusi Bersama Bersih ini bersetuju polis telah melanggar peruntukan akta tersebut apabila menolak hak mereka melakukan perhimpunan terbabit pada Isnin lalu, hari di mana akta berkenaan dikuatkuasakan.

“Betul, saya setuju ... saya rasakan mereka tidak bertindak berlandaskan akta itu, dan mereka mungkin telah menyalahi undang-undang. Bagaimanapun, mereka boleh menggunakan peruntukan lain untuk menahan kami,” katanya kepada The Malaysian Insider semalam.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam ini turut melahirkan perasaan curiga dengan bagaimana akta itu dikuatkuasakan dengan tergesa-gesa, lima hari sebelum rancangan mereka mengadakan perhimpunan Bersih Sabtu ini.

“Sepatutnya, ia perlu dikuatkuasakan lebih awal. Kenapa secara tiba-tiba ia dikuatkuasakan dengan terburu-buru?” soalnya.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk VK Liew mengesahkan kepada The Malaysian Insider semalan berkenaan akta tersebut, yang disebut sebagai PAA2011, telah dikuatkuasakan secara rasmi pada Isnin.

Ia diluluskan di Parlimen Disember lalu, dan mendapat persetujuan diraja pada 30 Januari, kemudiannya digazet menjadi undang-undang pada 9 Febuari.

Namun, jelas Liew, “lokasi perhimpunan” di bawah akta itu masih belum dikhususkan dan digazetkan oleh kementeriannya.

Menurutnya, ini bermakna Dataran Merdeka belum disenaraikan sebagai lokasi yang tidak digazetkan sebagai “lokasi untuk perhimpunan”, dan mana-mana pihak yang ingin menganjurkan perhimpunan di dataran bersejarah itu perlu menbuat permohonan kepada DBKL.

“Ia di bawah kuasa DBKL. Sebagai pemilik, DBKL ada kuasa. Lebih kurang begini — itu rumah saya, saya akan membuat keputusan sekiranya kamu boleh menggunakan rumah saya.

“Kita perlu bertolak ansur dan menghormati keputusan tuan rumah.

“Ia memang kuasa pemiliknya untuk membenarkan atau menolak mana-mana pihak menggunakan harta mereka,” katanya melalui khidmat pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Menurut PAA2011, permit polis tidak lagi diperlukan untuk menganjurkan perhimpunan, namun penganjur mesti menyerahkan pemberitahuan kepada polis daerah sekurang-kurangnya 10 hari sebelum perhimpunan dijalankan.

Polis kemudiannya akan memaklumkan kepada pemilik lokasi berkenaan dalam tempoh 24 jam dan mereka perlu membalas dalan tempoh 48 jam sekiranya ada bantahan atau menerimanya.

Bantahan itu, jelas akta terbabit, mesti dipertimbangkan apabila polis, di bawah Seksyen 15, menyatakan syarat-syaratnya kepada penganjur perhimpunan tersebut.

Namun, sekiranya syarat polis itu telah dilanggar, Seksyen 15 menyatakan denda maksimum RM10,000 dan hukuman, dan Seksyen 20, dan 21 membenarkan pihak polis menahan mana-mana penganjur dan peserta, tanpa waran, bagi menyuraikan perhimpunan.

Seksyen 11 akta tersebut turut menyatakan penganjur perhimpunan “perlu mendapatkan kebenaran pemilik kawasan perhimpunan bagi membolahkan mereka menjalankan untuk mereka melaksanakan perhimpunan mereka”.

Akta ini bagaimanapun tidak menyatakan peruntukan sekiranya Seksyen 11 ini dilanggar.

DBKL telah melarang Bersih daripada menggunakan Dataran Merdeka Sabtu ini. Datuk Bandar KL, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail mengugut akan “menghalang” perserta Bersih 3.0 daripada lokasi itu sekiranya mereka berkeras untuk menggunakannya.

“Jika berlaku kekacauan, salahkan Bersih,” katanya.

Tiada ulasan: