Sabtu, 28 April 2012

Budak lelaki Belanda diculik di KL

KL TODAY

 
Seorang budak lelaki warga Belanda, Nayati Shamelin Moodliar, 12, dilarikan dua lelaki tidak dikenali menaiki Proton Gen2 berwarna hitam ketika menuju ke sekolahnya di Sekolah Antarabangsa Mont Kiara (MKIS) di sini, Jumaat.Dalam kejadian 7.35 pagi itu, Nayati dihampiri dua lelaki terbabit sebelum dipaksa masuk ke dalam kereta berkenaan.

Menurut saksi, kedua-dua lelaki itu menarik Nayati ketika dia berjalan menghampiri sekolahnya sebelum melarikan kanak-kanak tersebut.

Nayati berpakaian seragam sekolah, bermata coklat dan memiliki ketinggian 1.5 meter.

Keluarga kanak-kanak itu merayu kepada penculik tersebut supaya membebaskan anak tunggal mereka secepat mungkin.

“Kami hanya mahu dia pulang dengan selamat. Tolong lepaskan anak kami dan hubungi kami.
“Kami tidak mahu sebarang masalah berlaku. Kami hanya mahukan anak kami,” kata bapa Nayati, Sham Moodliar.

Polis sedang menyiasat insiden itu selepas keluarga mangsa membuat laporan di Balai Polis, Brickfields.
Pengetua sekolah tersebut, Walter Morris menyifatkan Nayati sebagai seorang yang peramah, popular dan bersikap positif.

“Dia kanak-kanak yang baik. Kami harap dapat menjumpainya dengan segera,” katanya.

MKIS turut menyiarkan berita kehilangan Nayati di laman webnya, www.mkis.edu.my.

Sementara itu, nasib Nayati turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Najib dalam laman Twitter pada malam Jumaat berkata, beliau sudah bercakap terus dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, meminta kes itu disiasat.

“Saya merayu sebagai seorang bapa agar Nayati tidak dicederakan dalam apa jua cara sekalipun. Mari kita berdoa dan menggunakan media sosial untuk membantu usaha pencarian Nayati,” katanya.

Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi polis, sekolah di talian 03-2093-8604 atau 013-681-6085.

Tiada ulasan: