Isnin, 23 April 2012

Pilihan raya berasingan kerana kelemahan SPR

 
Hak mengadakan pilihan raya umum (PRU) bersama atau berasingan adalah terletak sepenuhnya pada kerajaan negeri.




PETALING JAYA: Kerajaan negeri Selangor membayangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya negeri yang berasingan ekoran kegagalan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) membersihkan senarai daftar pemilih yang meningkat secara mendadak di negeri itu.

Setiausaha Politik Menteri Besar negeri itu, Faekah Husin berkata, hak mengadakan pilihan raya umum (PRU) bersama atau berasingan adalah terletak sepenuhnya pada kerajaan negeri.

“SPR tidak boleh menggunakan alasan belanja RM30 juta untuk menyekat hak tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau menegaskan mereka harus sedar tindakan mengadakan pilihan raya berasingan adalah akibat dari kegagalan SPR membersihkan dan mengambil langkah berkesan sebagaimana unjuran Bersih 2.0.

“Jika kita mahu berbicara soal wang rakyat, bagaimana pula dengan RM250 juta wang rakyat yang disalahguna NFC (National Feedlot Corporation) dan RM589 juta hutang (bekas pengerusi MAS) Tan Sri Tajuddin Ramli yang dilupuskan oleh kerajaan?

“Bagaimana pula dengan urusniaga penjualan Lebuh Raya MEX? Adakah geran kerajaan yakni duit rakyat yang diberikan kepada Maju Holdings berjumlah lebih RM900 juta telah dikembalikan? Bukankah ini semua melibatkan pembaziran wang rakyat?,” soal beliau.

‘Seperti lembu dicucuk hidung’


Isu pilihan raya berasingan katanya, tidak akan timbul sekiranya SPR bersungguh-sungguh membersihkan senarai daftar pemilih yang meningkat mendadak.

“Walaupun telah banyak bukti yang dikemukakan namun SPR masih gagal bertindak sewajarnya sebaliknya memberikan alasan yang pelik dan tidak munasabah.

Ujar beliau, “kita mahu SPR melaksanakan tanggungjawab secara bebas dan jangan mengikut telunjuk Barisan Nasional (BN) atau mana -mana parti politik seperti lembu dicucuk hidung.

“Kita amat kecewa apabila SPR tanpa berselindung menunjukkan sokongan kepada BN. Jika ada pegawai tertinggi SPR mahu berpolitik, sila letak jawatan dan bertanding sebagai calon BN.

“Kita mendesak SPR berhenti menjadi jurucakap BN. Jika SPR mahu dihormati seluruh masyarakat Malaysia, laksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur kerana setiap perbuatan kita pasti akan mendapat balasan dariNYA,” tambahnya.

Tiada ulasan: