Isnin, 23 April 2012

Dakwaan DAP: Exco Umno mengakui anak terlibat

 
Bagaimanapun, Adun Umno Sungai Udang itu menegaskan ia bukan menukar alamat pemilih sebagaimana yang didakwa pemimpin DAP.




MELAKA: Exco Agama kerajaan Melaka, Datuk Yaakub Md Amin mengesahkan anak lelakinya terbabit dengan program mendaftarkan pengundi baru di Universiti Teknikal Melaka (UTEM).

Bagaimanapun, Adun Umno Sungai Udang itu menegaskan ia bukan menukar alamat pemilih sebagaimana yang didakwa pemimpin DAP.

“Anak saya, Muhamad Asri yang belajar di UTEM bersama rakan-rakannya membuat program mendaftar pemilih tersebut. Dia buat sebagai satu tanggungjawab mendaftar di kalangan mereka.

“Program itu tidak salah kerana dibenarkan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihanraya). Sama seperti program mendaftar pemilih di tempat-tempat-tempat lain.

“Mengapa mereka (pembangkang) boleh buat daftar di mana saja tetapi anak saya tidak boleh. Ini program budak-budak universiti, apa yang salahnya,” katanya yang dihubungi hari ini.

Yaakub berkata demikian sebagai menjawab dakwaan pemimpin DAP bahawa anak seorang exco kerajaan negeri Melaka terbabit dalam kegiatan menukar alamat pelajar universiti supaya mengundi di kawasan Parlimen Bukit Katil.

Parlimen Bukit Katil dimenangi wakil Umno, Datuk Md Sirat Abu. Tetapi  kerusi negeri Bukit Baru diwakili Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Pendedahan Adun Ayer Keroh Khoo Poay Thiong, turut disertakan dengan tayangan video.

‘Jual tanah masjid’

Menurut Yaakub, pembangkang sentiasa mencari peluang untuk membuat pelbagai dakwaan dan tohmahan jahat terhadap diri dan keluarganya.

“Mereka tidak ada jalan hendak mengecam saya, jadi mereka menyerang anak saya pula.

“Mereka serang kerana saya wakil rakyat, pemimpin Umno dan exco kerajaan Melaka. Kalau saya tidak ada jawatan, mereka tidak akan serang saya.

“Orang kampung saya sendiri, dakwa saya jual tanah masjid,” katanya lagi.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Kamaruddin Sidek pula menegaskan Umno mahu memindahkan pengundi mahasiswa UTEM kerana bimbang pengaruh pembangkang di Parlimen Bukit KatI.

Katanya, dalam pilihanraya umum 2008, dua DUN iaitu Bukit Baru dan Ayer Molek dimenangi DAP.

“Mereka bimbang, Mohd Ali akan kalah di Bukit Baru dalam pilihan raya umum ke 13,” tambahnya.

TURUT BACA:

EXPOSED: ‘Student voters coerced’

Tiada ulasan: