KLANG : Pejabat ADUN Selat Klang kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mengatakan Pejabat itu menyediakan RM300 untuk mangsa-mangsa banjir.
Pegawai Khas Pejabat ADUN Selat Klang, Abdul Razak Abdul Rashid berkata SMS tersebut diterima penduduk ketika kejadian banjir kilat Jumaat lalu dan melahirkan perasaan kesal terhadap perkara itu ketika ditemui hari ini.
“SMS tersebut disebarkan kepada penduduk dan mereka datang untuk menuntut wang di Pejabat DUN Selat Klang dan kami terkejut kerana mereka menyatakan pihak DUN menyediakan bantuan RM300 kepada mereka.” jelas Abdul Razak lagi.
ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh musuh politik mereka.
Dr Halimah ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek ketika meninjau program bancian mangsa banjir yang dilakukan pusat khidmat itu di sini semalam.
Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang berpunca daripada kegagalan kunci air berfungsi dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk di sekitar Kampung Delek mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.
Sementara itu, Dr Halimah berkata Pusat DUN Selat Klang menerima sebuah van untuk tugasan kemasyarakatan hasil sumbangan syarikat Capyield Sdn. Bhd.
Van tersebut digunakan untuk mengagihkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Delek dan beberapa kawasan berhampiran.
Selain itu, Pejabat DUN Selat Klang dan Pusat JKKK Kampung Delek telah mengadakan Tabung Kebajikan DUN Selat Klang untuk menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menolong mangsa banjir.
Sumbangan boleh dimasukkan ke no akaun Tabung Kebajikan Dun Selat Kelang 120 100 100 804 20 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan