Sabtu, 4 Februari 2012

UMNO-BN perlu belajar dari PAP Singapura untuk atasi rasuah, penyelewengan

Oleh Amaluddin Zhafir dan Mazir Ibrahim


KUALA LUMPUR: Para pemimpin UMNO sering memandang serong dan mengutuk kepimpinan PAP di Singapura, khususnya apabila cuba menimbulkan isu perkauman yang boleh menimbulkan ketegangan hubungan antara rakyat.

Namun, apa yang jarang dibangkitkan pula ialah kerajaan PAP Singapura – walau pun di segi kebebasan dan hak asasi ia masih tidak memuaskan seperti mana pentadbiran UMNO-Barisan Nasional di Malaysia – ia berusaha untuk mengurangkan gejala rasuah, korupsi dan penyelewengan.

Justeru, Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said mencadangkan kepada para pemimpin UMNO-BN supaya belajar dari kepimpinan Singapura untuk mencegah dan mengurangkan gejala buruk itu yang memyebabkan rakyat menderita.

Beliau berkata, para pemimpin UMNO-BN perlu meneladani pemimpin-pemimpin PAP di Singapura, terutamanya usaha sebuah pulau kecil mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

“Ambil contoh (bekas Perdana Menteri Singapura) Lee Kuan Yew. Beliau cuma bercakap tentang lunas-lunas yang penting sahaja.

“Tidak seperti (Tun Dr) Mahathir (Mohamad), semua perkara beliau nak cakap… Masih bergantung dengan Ibrahim Ali dan Perkasa. Malah tidak mustahil suatu hari nanti akan bergantung dengan Jati (NGO yang ditubuhkan oleh Datuk Dr Hasan Ali yang dipecat oleh PAS),” katanya kepada Roketkini.

Tambah beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad, perbuatan suka memainkan isu perkauman dan agama hanya akan memusnahkan jalan siasah.

“Dan tentunya musuh mereka (UMNO-BN) yang utama, DAP lah. Oleh kerana kebetulan sahaja DAP melalui sejarah dari PAP.

“Tapi kan sudah 54 tahun (Merdeka). Dan contoh baik dari pemimpin-pemimpin Singapura harus kita hormati, boleh dikata sedikit sangat yang rasuah. Itu jenis pemimpin yang kita mahu di sini,” tegasnya.

Sehubungan itu, Pak Samad memuji pimpinan DAP yang menurutnya ramai yang boleh dipercayai, sambil merujuk negeri-negeri Pakatan Rakyat yang semakin mapan ekonominya.

“Pemimpin-pemimpin yang sejauh ini tidak rasuah, ini membangunkan sebuah masyarakat Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Bersih berkata, Melayu tidak perlu takut dengan ancaman perkauman terhadap DAP kerana yang perlu ditakuti ialah pemimpin Melayu sendiri yang menjahanamkan bangsanya.

Beliau mengulas kenyataan Hassan Ali yang menuduh DAP jika diberi kuasa akan menggabungkan Malaysia dan Singapura untuk menubuhkan negara republik, serta DAP didakwanya akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan unsur-unsur Islam di Malaysia.

Tegas Pak Samad: “Kuasa di tangan orang Melayu, mengapa kita perlu katakan orang Melayu itu dalam bahaya? Semua Perdana Menteri Melayu, Raja dan Sultan semua Melayu, Menteri Besar semua Melayu…Mengapa kita nak waraskan yang Melayu dalam bahaya?”

Mengulas kemasukan Melayu ke dalam DAP, tokoh sasterawan itu meletakkan harapan agar Melayu yang menyertai DAP dapat membantu menyumbang kepakaran mereka secara jujur, dan telus selain memahami hukum-hakam perjuangan parti.

“DAP haruslah menilai watak-watak (Melayu) yang diterimanya itu. Sebab kalau tidak nanti, orang sediakan RM2 juta (rasuah), lompat pula,” katanya.

Beliau turut memuji Melayu yang berani menyertai DAP dan menganggap ia adalah perkembangan yang bagus buat DAP menonjolkan lagi sebagai sebuah parti bersifat kebangsaan. – Roketkini.com

Tiada ulasan: