Sabtu, 4 Februari 2012

Wanita BN Perlu Lebih Istiqomah, Kata Shahrizat

Post Pic



BERUAS : Ketua Wanita Barisan Nasional, Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil meminta wanita BN agar terus istiqamah dalam perjuangan parti sekali gus memantapkan kerjasama sebagai satu pasukan biar apa pun halangan yang mendatang.

Sehubungan itu, wanita BN perlu melebarkan sayapnya dengan bekerja keras untuk memastikan parti itu berjaya merampas kembali negeri-negeri yang ditadbir pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

"Kemenangan BN Perak pada PRU 13 terletak di atas bahu wanita BN.

"Selagi diberi mandat, percayalah wanita akan menjadi penentu dan tulang belakang kepada kemenangan BN," katanya di hadapan kira-kira3,000 perwakilan wanita daripada UMNO, MCA, MIC, Gerakan, PPP, IPF dan KIMMA pada program Pemantapan Jentera Pilihanraya Jalinan Rakyat Wanita Barisan Nasional Perak.

Shahrizat berkata, bagi memantapkan lagi perjuangan parti wanita UMNO kini sedang merangka beberapa program untuk rakyat.

"Kita sedang melebarkan skuad sayang kepada semua tak kira siapa pun.

"Mesti memantapkan jalinan kerja ini bagi memastikan kemenangan pru akan datang.

"Malah kita juga minta wanita BN mempertingkatkan ilmu dalam penggunaan IT dan kita mahu mereka menjadi cybertroopers bagi terus mempertahankan segala tuduhan yang tidak berasas yang dibuat oleh pihak sana," tegasnya.

Selain itu, Shahrizat yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut meminta semua pemimpin wanita terus bangkit berani berdepan dengan masalah serta pelbagai halangan dari pihak pembangkang untuk melemahkan perikatan itu.

"Saya dulu adalah Ketua Wanita Cawangan dan saya bangun daripada bawah.

"Saya faham apa yang anda lalui sebab saya pernah lalui sebelum ini dan saya faham isi hati anda semua tentang apa yang saya lalui sekarang.

"Sebagai ketua kita tidak boleh gentar hadapi apa pun masalah dan anda kena kuat berdepan dan hadapi pilihan raya akan datang ini," katanya yang mahukan wanita BN terus istiqamah dalam perjuangan sebenarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyelar tindakan pihak pembangkang yang melihat wanita BN sebagai 'lembik' untuk berdepan dengan masalah.

"Wanita akan terus setia dengan BN biarpun berdepan dengan macam-macam masalah.

"Wanita akan terus setia memberi sokongan kepada PM, Datuk Seri Najib Razak dan pimpinan Datuk Zambry," katanya yang turut sama meyakinkan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Zambry Abdul Kadir yang wanita akan cuba pertahankan Perak daripada dirampas pembangkang.

Shahrizat hari ini memulakan tugas pertamanya selepas beliau pulang daripada menunaikan umrah semasa cuti tiga minggu susulan isu Perbadanan Fedlot Kebangsaan (NFC) yang membelenggui keluarganya.

Tiada ulasan: