KUALA LUMPUR - Rakyat muncul pemenang sebenar dalam debat antara parti MCA dan DAP kerana ia membolehkan mereka menilai sendiri pendirian
serta polisi Barisan Nasional (BN), kata Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.
"Pemenangnya ialah rakyat, dan bukan Lim Guan Eng (Setiausaha Agung DAP) atau Chua Soi Lek," kata presiden MCA itu pada sidang akhbar bersama sejurus menamatkan perdebatan yang menarik minat ramai rakyat, terutama masyarakat Cina, serta disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro AEC dan Awani.
"Penglibatan seperti ini akan membolehkan rakyat melihat pendirian BN dan Pakatan," katanya selepas debat sejam bertajuk 'Kaum Cina di Persimpangan: Apakah sistem dua parti akan menjadi sistem dua bangsa?' anjuran Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (Asli) serta kumpulan pemikir MCA Institut Analisis
Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) di sini.
Sejak awal lagi, Soi Lek dan Ketua Menteri Pulau Pinang itu bersetuju berdebat secara profesional serta tidak menggunakannya sebagai platform bagi
menentukan siapa menang atau kalah.
Debat itu dikendalikan dalam bahasa Mandarin dan dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor, Tan Ah Chai.
Mengulas isu sama ada mereka menjawab soalan yang dibangkitkan dalam debat itu, Soi Lek berkata, beliau yakin mampu memberikan penjelasan lebih baik jika diberikan lebih masa dan peluang untuk berbuat demikian.
Guan Eng pula berkata, debat itu boleh menjadi satu permulaan yang baik ke arah mewujudkan masyarakat demokrasi lebih matang, dan ia patut dianjurkan lebih kerap.
"Saya rasa ini sesuatu yang baik serta berharap ia bukan yang pertama dan terakhir. Saya rasa ia akan membuka minda rakyat kita kerana isu perlu dibahas secara rasional dan waras," katanya sambil menambah, beliau bersetuju untuk berdebat sekali lagi dengan Soi Lek dalam Bahasa Malaysia atau Inggeris, dan butiran lain seperti topik, masa serta venue akan diputuskan kemudian.
Beliau juga berkata, debat yang paling dinanti-nantikan rakyat Malaysia ialah antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Terdahulu, ketika perdebatan, yang dihadiri lebih 600 khalayak, Soi Lek berkata, DAP hanya tahu menyerang kerajaan BN dan menyalahkan parti komponen itu dalam setiap perkara bagi menyembunyikan kelemahan mereka.
Beliau berkata, DAP juga menyemai politik kebencian di kalangan rakyat terhadap BN selain mahir melaga-lagakan orang Cina sesama sendiri.
Katanya, sejak DAP berkuasa di Pulau Pinang, ia tidak mampu menyelesai dan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk negeri itu, malah gagal meluluskan tanah untuk membina sekolah Cina.
Soi Lek juga menegur DAP kerana mendesak sistem dua parti sedangkan pada realitinya, ia hanya satu slogan bagi meraih undi, selain bercanggah dengan sasaran pilihan raya mereka baru-baru ini untuk 'tidak mempunyai pembangkang' di Pulau Pinang pada pilihan raya umum akan datang.
Pada segmen di mana pendebat diberi peluang menyoal lawannya, Soi Lek meminta Guan Eng menjelaskan model ekonomi Pakatan Rakyat dan bagaimana ia boleh memacu Malaysia menjadi negara maju.
Bagaimanapun, Guan Eng seolah-olah tidak dapat berbuat demikian sebaliknya memilih untuk menjawab secara umum tanpa memberikan butiran berkaitan pembangunan ekonomi dan pelaburan di Pulau Pinang. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan