Ahad, 19 Februari 2012

Rakyat tak sabar undi PRU13, kata Muhyiddin

MOHD IDROS MOHD ALI & MOHD ISKANDAR OTHMAN

Rakyat tak sabar undi PRU13, kata Muhyiddin

BALIK PULAU - Gelombang kesedaran baru yang melanda masyarakat di seluruh negara sekarang ini mampu menguatkan lagi sokongan rakyat terhadap kerajaan dan memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rakyat sudah tidak sabar menunggu pilihan raya umum kerana mahu memberi semula undi kepada BN berbanding 2008.

Beliau berkata, itu adalah antara petanda yang diperolehi ketika pemimpinnya turun padang bertemu rakyat kerana gelombang baru itu mahu BN terus kekal berkuasa di negara ini.

“Ini adalah petanda baik kerana rakyat sering bertanya bila pilihan raya akan diadakan. Mereka tidak sabar lagi untuk memberi semula sokongan kepada BN.

“Ramai yang kata kepada saya tidak sabar lagi nak pangkah BN. Mesej itu disampaikan ketika saya bersalaman atau berbual-bual dengan mereka," katanya kepada media selepas menghadiri Jamuan Rakyat 1Malaysia di Permatang Tepi, Simpang Empat di sini, hari ini.

Turut hadir isterinya, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon; Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Osman serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja BN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.

Menurutnya, sudah tiba masanya rakyat melihat untuk jangka masa yang panjang sekiranya mahu hidup dengan lebih terjamin dan selamat.

“Sudah tentu selama 54 tahun pemerintahan kerajaan BN boleh membuktikan keupayaannya untuk menyediakan apa yang dikehendaki oleh rakyat," katanya.

Menurutnya, hasil tinjauan yang dilakukanya mendapati sokongan rakyat terhadap Kerajaan Pusat jauh lebih baik baik dan rakyat semakin sedar untuk kembali menyokong BN.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi BN Pusat berkata, gelombang kesedaran itu dapat dilihat setelah rakyat berpuas hati dan menyambut baik dengan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam melakukan pelbagai transformasi dan program yang menyentuh perasaan rakyat jelata.

“Rakyat menghargai pembangunan ekonomi yang dirangka berjalan lancar selain mengakui langkah-langkah yang diambil kerajaan banyak membawa manfaat kepada negara sehingga diakui pihak di luar negara.

“Apa yang dapat kita lihat sekarang ini ialah rakyat menghargai gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri dalam usaha merapatkan hubungan kaum.Tidak timbul sebarang isu berkaitan perkauman dan kerajaan ambil kira tentang kehendak semua kaum apabila melaksanakan sesuatu dasar atau program," kata beliau.

Muhyiddin berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan soal pendidikan, keagamaan dan memenuhi apa sahaja kehendak dan keperluan mereka.

“Kesemua langkah yang dilaksanakan itu kini sudah dirasai oleh rakyat. Bila kita buat bacaan tentang sikap mereka dan hasil reaksi masyarakat terutama di peringkat bawahan mendapati sokongan mereka terhadap BN bertambah kukuh,” katanya.

Tiada ulasan: