SHAH ALAM : Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor sesi 2012 akan bermula pada 19 Mac depan setelah mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Perkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada pemberita dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK di sini semalam.
Abdul Khalid berkata, antara isu yang akan diberi perhatian adalah keadaan kewangan negeri yang semakin meningkat termasuk program-program pembangunan yang bakal dilaksanakan untuk rakyat pada tahun ini.
"Menurut laporan Jabatan Kewangan Negeri Selangor, simpanan tunai kerajaan negeri bertambah lebih 26 peratus dan secara terkumpul melebihi RM1.9 bilion sehingga hujung 2011 berbanding kurang RM500 juta pada tahun 2007.
Penyata kewangan itu telah diserahkan kepada jabatan audit tetapi akan dikemaskini semula untuk mendapat pengesahan," katanya.
Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut memaklumkan exco kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dalam masa terdekat sebagai usaha untuk melaksanakan pemberian Geran Selangorku bernilai RM300 juta yang telah diluluskan pada sidang DNS lalu.
"Pengagihan itu dibuat supaya proses pelaksanaan dapat dilakukan dengan cekap dan berkesan, sekaligus mengurangkan birokrasi dan tepat kepada matlamat iaitu terus sampai kepada rakyat.
Geran yang dibentangkan Belanjawan Selangor 2012 berasaskan dana sumbangan dividen daripada Syarikat Berkaitan Kerajaan Selangor serta keuntungan operasi Perbadanan Menteri Besar (MBI) yang berjaya mendapatkan hutang-hutang lapuk dari Syarikat Talam Corporation.
Ia juga adalah hasil penstrukturan semula projek Canal City dan pengenalan polisi pemberi milikan tanah mengikut harga pasaran.
Antara program yang akan dilaksanakan melalui Geran Selangorku adalah pengenalan gaji minima, program memperkasakan wanita, program keusahawanan muda, pembinaan infrastruktur sukan, program sokongan pendidikan, program dari kebajikan kepada pekerjaan dan program jangkaan kehidupan bandar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan