Sabtu, 4 Februari 2012

K'jaan nafi firma gula untung akibat tambahan subsidi


MALAYSIA KINI

Kos subsidi gula bukannya ditentukan oleh turun naik harga global, jelas Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob hari ini.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya peningkatan dalam subsidi akan memberi manfaat kepada syarikat-syarikat yang memonopoli pasaran tempatan.

"Kerajaan telah menandatangani kontrak jangka panjang selama tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011 - dan harga telah ditetapkan pada US$0.179 bagi setiap paun.

"Bagaimanapun, sepanjang tempoh itu, harga gula global telah naik dan turun.

"Pada 2009, ia adalah US$0.175 bagi setiap paun tetapi pada Januari 2010 ia berada pada paras US$0.289 dan pada Disember tahun yang sama, ia melonjak kepada US$0.36 satu paun," kata Ismail Sabri selepas melancarkan Menu Rakyat 1Malaysia di ibu pejabat Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Sehingga Oktober tahun lalu harga hula jatuh kepada US$0.26 setiap paun, kata menteri itu sambil mengingatkan pengkritik supaya membuat perbandingan dengan kos gula pada awal 2009.

Bulan lalu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar RM567 juta dalam bentuk subsidi gula untuk tahun ini.

Pengumuman itu mengundang kritikan dari ahli parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua yang mendakwa kerajaan cuba "menipu" rakyat dengan mengumumkan subsidi gula ditambah manakala harga di peringkat antarabangsa turun dalam tempoh enam bulan lalu.

Tiada ulasan: