Hasan yang juga ADUN Gombak Setia berkata, matlamat beliau memperjuangkan agama Islam, masyarakat Melayu, dan institusi Raja berbeza dengan matlamat penubuhan Kita yang diasaskan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim.
"Matlamat saya adalah IMR, (Islam, Melayu, Raja), sedangkan matlamat KITA adalah berbeza, jadi saya rasa biarlah Kita teruskan dengan perjuangan mereka," katanya yang turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang selari dengan perjuangannya untuk bersama-sama memantapkan prinsip IMR tersebut.
"Siapa sahaja yang bawa prinsip IMR, saya alu-alukan mereka," tambahnya.
Pemimpin negeri Parti Kita telah menyatakan hasrat mereka mempelawa Hasan Mohamed Ali bekerjasama dengan parti tersebut dan mendesak Presidennya, Datuk Zaid Ibrahim meletak jawatan.
Ketua KITA Kedah, Zamil Ibrahim berkata, Zaid perlu meninggalkan parti dan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih berkaliber untuk menerajui parti yang baru setahun ditubuhkan itu.
Beliau berkata, perwakilan dari setiap negeri termasuk Kedah, Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Sarawak tidak teragak-agak menyingkirkan Zaid jika itu merupakan cara yang terbaik menyelamatkan parti.
Dua hari lalu, Zaid mengumumkan bahawa parti tersebut akan dibubarkan ekoran kegagalan beliau membawa masuk anggota-anggota yang cukup berminat dalam cita-cita bagi mencapai demokrasi dan juga tidak dapat mengumpul dana yang mencukupi untuk menguruskan aktiviti-aktiviti parti tersebut.
Sementara itu, mengulas berkenaan Unit Selamatkan Akidah (USA) yang diwujudkan beliau ketika menjadi exco berkaitan hal ehwal Islam di Selangor, Hasan menegaskan, unit berkenaan adalah miliknya dan bukannya kerajaan negeri, dan beliau akan terus bertanggungjawab terhadap unit tersebut.
"Unit itu hak saya, milik saya, bukan kerajaan negeri, saya akan berusaha mencari penaja untuk program-program di bawah unit tersebut," katanya.
Menurutnya lagi, pejabat USA itu juga akan dipindahkan ke Taman Tun Dr Ismail dalam masa terdekat, yang kini masih lagi berada di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan