Sabtu, 25 Februari 2012

Hilmi dakwa Pakatan dalang penyebaran foto

FREE MALAYSIA TODAY

"Saya tidak menolak kemungkinan ada musuh dalam selimut yang menyimpan dendam atau dengki kepada saya atau Eli (Elizabeth)," katanya.



PETALING JAYA: Hilmi Azimin Malek, bekas kekasih Exco Selangor mendakwa permainan kotor politik Pakatan Rakyat menyebabkan hidupnya dan Elizabeth Wong menjadi sukar dan menanggung aib.

Beliau bagaimanapun tidak tahu dalang sebenar yang menjadi musuh dalam selimut dan motif individu itu menganiayainya.

“Saya tidak menolak kemungkinan ada musuh dalam selimut yang menyimpan dendam atau dengki kepada saya atau Eli (Elizabeth),” katanya dipetik laporan Kosmo! hari ini dalam pertemuan di Polresta, Barelang, Batam, Indonesia.

Namun Hilmi, 37, dipetik laporan portal Indonesia Detik.com awal Februari mendakwa dirinya mendapat tajaan daripada parti politik pembangkang dan keluarga sepanjang menjadi pelarian di sana.

Sementara itu, jurucakap polis di Batam berkata, Hilmi bakal berdepan dengan hukuman penjara sekurang-kurangnya lima tahun atas kesalahan memalsukan pengenalan diri di Indonesia.

Siasatan mendapati Hilmi mendapatkan pengenalan diri palsu itu daripada seorang kenalan keluarganya dan mungkin dengan bantuan parti pembangkang di Malaysia yang membiayai kehidupannya sejak tiga tahun melarikan diri ke Indonesia, laporan Kosmo! dipetik.

“Kita juga sedang menyiasat kemungkinan kenalan Hilmi yang membuat pengenalan palsu Hilmi melalui khidmat sindiket di Indonesia,” kata beliau.

Sementara itu, Hilmi turut mendakwa pernah bertemu dengan Elizabeth untuk berbincang selepas tersebarnya gambar yang mengaibkan itu.

“Kami sama-sama duduk menangis mengenang musibah yang menimpa diri Elizabeth,” katanya yang kemudian mengambil keputusan untuk tidak membuka mulut mengenai isu tersebut kepada mana-mana pihak.

Katanya, disebabkan janji itu juga dia tidak pernah menjawab panggilan telefon atau mengeluarkan apa-apa kenyataan mengenai gambar tersebut.

Hilmi turut mengaku menjadi kekasih Elizabeth tanpa pengetahuan ramai namun terputus begitu sahaja selepas melarikan diri ke negara jiran.

Aktivis PKR itu menjadi buruan polis tempatan bagi membantu siasatan kontroversi gambar Elizabeth yang diambil melalui telefon bimbit semasa pemimpin PKR itu sedang tidur dan kemudiannya disebarkan di Internet pada tahun 2009.

Bagaimanapun, Hilmi gagal dikesan kerana menghilangkan diri dan dipercayai bersembunyi di Indonesia.

Tiada ulasan: