Sabtu, 25 Februari 2012

FGVH pelik, umpama syarikat kecil telan syarikat besar

Ketua Biro Felda PKR Suhaimi Said dakwa kerajaan mahu menyenaraikan FGVH kerana perlukan wang pilihan raya umum ke 13.



PETALING JAYA: Biro Felda PKR mendakwa penyenaraian Felda Global Ventures Holding (FGVH) langkah pelik dalam urusan perniagaan kerana syarikat kecil menelan syarikat besar.

Penyenaraian FGVH bermakna Koperasi Permodalan Felda (KPF), Felda Plantations dan Felda Holdings akan dikuasai FGVH.

Kata Suhaimi, bagaimana mungkin FGVH sebuah syarikat yang bermasalah yang menjalankan perniagan di luar negara tetapi rugi mahu menguruskan perniagaan itu.

Koperasi Permodalan Felda (KPF) merupakan koperasi terbesar negara yang memberi dividen tahunan 15 peratus kepada ahlinya.

“Soalan ini berdasarkan kenyataan Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad “bergantung kepada untung rugi perniagaan.”

“Bolehkah FGVH memberi jaminan ahli KPF akan terus mendapat dividen sebanyak itu? Atau lebih banyak lagi atau bagaimana?” tanya beliau.

Suhaimi berkata, penyenaraian itu juga menyebabkan Felda Plantions yang mempunyai ladang seluas 830, 000 ekar akan menjadi milik FGVH.

Katanya, Felda yang mendapat RM2.4 bilion setahun akan memperolehi RM500 juta setelah FGVH disenaraikan.

“Bolehkah FGVH terus menjamin kejayaan Felda Holding yang sangat berjaya dan berdaya maju sekarang,? tanya beliau lagi.

Bagi Suhaimi, penyenaraian FGVH adalah untuk kepentingan politik BN bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13.

BN mahu wang

Beliau mendakwa peneroka Felda telah dijanjikan antara RM20, 000 dan RM30,000 seorang dalam bentuk wang tunai dan saham apabila penyenaraian FGVH dilakukan.

Pemberian ini akan dilakukan sebaik sahaja parlimen dibubarkan untuk memberi gambaran bahawa penyenaraian FGVHB ini memberikan menfaat kepada peneroka-peneroka Felda, kata Suhaimi.

“Ini maklumat dalaman dari Felda, kita ramai kawan-kawan dalam Felda, Bukan semua pegawai Felda setuju dengan FGVH,” kata Ketua Biro Felda PKR, Suhaimi Said yang dihubungi hari ini.

Suhaimi berkata, kerajaan mahu menyenaraikan FGVH kerana mahukan wang yang banyak bagi menghadapi pilihan raya umum ke 13.
“Pemberian wang dalam jumlah yang banyak kepada peneroka Felda bukan perkara baru dalam era pemerintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor, Najib menghulurkan RM1000.00 sebelum hari mengundi dan RM49,000.00 lagi selepas BN menang kepada peneroka Sungai Buaya.

“Dalam pilihanraya kecil Kerdau, wang ses sebanyak RM13,000 dibayar kepada peneroka Felda Jengka 22 dan RM4,000.00 untuk peneroka Jengka 23,” katanya lagi.

Tiada ulasan: