Jumaat, 10 Februari 2012

Guan Eng harus beri penjelasan penjualan tanah Bayan Mutiara

MALAYSIA CHRONICLE


NIBONG TEBAL- UMNO Pulau Pinang hari ini meminta Ketua Menteri, Lim Guan Eng memberi penjelasan secara terbuka mengenai isu penjualan tanah seluas 41.6 hektar kepada sebuah syarikat swasta dengan harga RM1.1 bilion.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Zainal Abidin Osman, berkata Lim juga harus memberikan alasan kenapa tanah tebusguna yang luas itu tidak dimajukan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) yang juga pemilik tanah itu sendiri.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata adalah menghairankan kenapa tanah itu dijual sedangkan PDC mempunyai kepakaran serta pengalaman dan telah menjalankan banyak projek pembangunan untuk kepentingan rakyat.

Tanah yang dianggap sebagai "bernilai amat tinggi" di Bayan Mutiara adalah kawasan paling strategik kerana berdekatan dengan Jambatan Pulau Pinang, Zon Perdagangan Bebas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

"Bagi pentadbiran yang mendakwa sebagai mesra rakyat,(adalah) menghairankan tidak ada perundingan awam untuk melibatkan pihak yang berkepentingan sebelum menjual tanah milik kerajaan itu," katanya.

Zainal Abidin berkata kerajaan negeri juga seolah-olah terburu-buru membuat keputusan untuk menjual tanah itu tanpa membuat penilaian harga tanah untuk jangka panjang.

Jika tanah itu dimajukan secara berperingkat, beliau berkata harganya akan melambung sehingga RM10 bilion tetapi kerajaan telah membuat keputusan kurang bijak apabila menjualnya dengan harga RM1.1 bilion dan memberi keistimewaan kepada syarikat berkenaan untuk membayarnya secara berperingkat sehingga lima tahun.

Beliau berkata kaedah jual-beli itu menguntungkan syarikat kerana tanah itu akan dimajukan secara berperingkat dan pemaju hanya perlu membayar kepada kerajaan negeri secara berperingkat juga.

"Secara mudahnya, setelah mendapat duit daripada pembeli bangunan yang dimajukannya dan nilai hartanah itu pula akan terus meningkat," katanya.

Zainal Abidin berkata harga jualan yang diberikan kerajaan itu adalah terlalu rendah jika dibandingkan dengan harga di kawasan sekitarnya termasuk di Queensbay yang bernilai lebih sekali ganda daripada harga jualan itu.

Berdasarkan kepada maklumat, beliau berkata kerajaan negeri hanya membuat penilaian harga tanah itu selepas beberapa bulan menawarkannya kepada syarikat berkenaan dan tanah itu dijual secara pegangan bebas sedangkan menurut dasar kerajaan, tanah milik kerajaan hendaklah dijual secara pajakan sahaja.

"Kini kerajaan negeri sedang mencanang dengan peruntukan RM500 juta untuk projek perumahan rakyat dan kita juga tertanya-tanya daripada manakah sumber kewangan itu diperoleh sedangkan syarikat berkenaan belum pun membuat pembayaran," katanya.- BERNAMA

Tiada ulasan: