BALIK PULAU- Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang yakin beberapa strategi yang diatur parti komponennya mampu merampas kembali negeri ini daripada pentadbiran DAP pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti.
Setiausaha Barisan Nasioanal (BN) Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, berkata ketika ini semua jentera parti sedang giat mengadakan program turun padang mendekatkan diri dengan masyarakat setempat.
"Aktiviti kemasyarakatan sedia ada seperti tinjauan mesra memang dilalukan dan dengan beberapa strategi lain yang diatur juga dijangka mampu mengembalikan Pulau Pinang kepada BN," katanya.
Dr Hilmi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai strategi BN untuk merampas kembali Pulau Pinang pada PRU-13.
"Tunggulah dulu, sampai masanya nanti kita (BN) akan beritahu...kita tidak boleh terburu-buru dan terlalu teruja," katanya.
Dr Hilmi menegaskan tugas mendampingi dan mendekati rakyat perlu diteruskan kerana ia menjadi amalan para pemimpin BN sejak dulu lagi kerana itulah peluang terbaik wakil rakyat untuk mengetahui masalah dihadapi rakyat setempat.
Selain itu, katanya, bagi menangani isu semasa yang sering diputar-belit pembangkang, BN negeri juga kini giat mengadakan program penerangan yang memberi fokus kepada kumpulan sasar.
Beliau berkata, selain risalah dan ceramah, media baru turut digunakan termasuk blog dan khidmat pesanan ringkas (SMS) bagi memastikan penyampaian maklumat dapat dibuat secara menyeluruh.
Ditanya sama ada beliau berminat untuk merampas kembali kerusi Parlimen Balik Pulau yang pernah disandangnya sebelum PRU-12, Dr Hilmi berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan parti.
"Terpulang kepada pucuk pimpinan, sekiranya khidmat saya diperlukan di peringkat Parlimen...saya tiada halangan," katanya.- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan