Sabtu, 11 Februari 2012

Dr Khir Toyo: BN tidak benarkan operasi pasir

"Pendapatan dari perlombongan pasir tidak dapat membaiki kerosakan alam sekitar" kata beliau.



SHAH ALAM: Selangor tidak membenarkan pengeluaran pasir di negeri bagi mengelak kerosakan alam sekitar di kawasan perlombongan, kata bekas Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo.

“Pendapatan dari perlombongan pasir tidak dapat membaiki kerosakan alam sekitar. Kalau kita korek dan keluarkan pasir 100 ekar, berapa kos untuk menimbusnya semula?

“Sebab itu saya tidak luluskan lesen perlombongan pasir semasa saya menjadi menteri besar.

“Masa saya, pasir bukan pendapatan utama kepada Selangor” kata beliau.

Dr Khir melepaskan jawatan menteri besar yang dipegangnya sejak 2001 selepas BN kalah dalam pilihan raya umum 2008.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan kerajaan Selangor sekarang yang meluluskan lesen pasir sebagai salah satu pendapatan negeri.

Dakwaan RPK

Dakwaan terbaru dari pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin ialah dua Adun PKR iaitu Suhaimi Shafie (Sri Muda) dan Amiruddin Shaari (Batu Caves) mendapat kontrak pasir di Selangor.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka menafikan dakwaan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Dr Khir mendakwa kerajaan negeri pimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah meluluskan terlalu banyak pusat hiburan sejak tiga tahun lalu.

“Jumlah sekarang ialah antara 4, 000 dan 5, 000 – terlalu banyak. Masa saya hanya 700 sahaja,” tambahnya.

Tiada ulasan: