Rabu, 8 Februari 2012

Bekas Pengarah Imigresen dibenar kemuka keterangan bersumpah

FREE MALAYSIA TODAY

Abdul Rahman Harun menghadapi tuduhan memiliki harta melebihi pendapatannya.



GEORGE TOWN: Bekas pengarah Imigresen Pulau Pinang, Abdul Rahman Harun yang diperintah membela diri hari ini dibenarkan mengemukakan keterangan bersumpah oleh Mahkamah Sesyen di sini.

Beliau, yang kini merupakan Ketua Penolong Pengarah Unit Bidang Keberhasilan Utama Negara, Kementerian Dalam Negeri, menghadapi tuduhan memiliki harta melebihi pendapatannya, memilih untuk berbuat demikian dalam pembelaan kes yang dihadapinya.

Hakim Sitarun Nisa Abdul Aziz kemudiannya menetapkan 19 Mac ini untuk tertuduh mengemukakan keterangan bersumpah itu dan turut menetapkan 19 hingga 21 Mac untuk sambung bicara memandangkan pihak pembelaan mempunyai tujuh saksi bagi memberi keterangan.

“Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan yang dihadapi tertuduh, tetapi mahkamah membenarkan kes ini disambung bicara untuk peringkat pembelaan,” katanya.

Abdul Rahman, 53, dituduh melakukan kesalahan itu di Kompleks Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jalan Sultan Ahmad Shah, Pulau Pinang, pada 11 Okt 2010, kerana memiliki wang sebanyak RM681,355 dan hartanah bernilai RM136,000, iaitu terdapat lebihan harta sebanyak RM152,081 daripada yang sepatutnya dimiliki setelah diambil kira emolumen sepanjang berkhidmat dengan kerajaan.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 36 (3) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman sehingga 20 tahun penjara dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Abdul Rahman, yang pernah menjadi Pengarah Bahagian Pentadbiran, Jabatan Imigresen di Putrajaya, mempunyai empat orang anak dan seorang isteri yang bertugas sebagai guru.

Peguam yang mewakili tertuduh, Zamri Idrus, ketika ditemui pemberita berkata kes tersebut merupakan yang pertama di Malaysia.

“Ini bukan kes rasuah. Kes ini tidak melibatkan tertuduh memberikan wang kepada orang lain. Tertuduh hanya gagal memberikan penjelasan memuaskan terhadap lebihan harta yang dimiliki. Tertuduh adalah yang pertama dituduh di bawah seksyen ini, pertama kali di Malaysia,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM Anthony Kevin Morais.
- Bernama

1 ulasan: