Rabu, 8 Februari 2012

S’gor gesa kerajaan laksana WSIA 2006

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berulang kali mengingatkan semua pihak tentang pentingnya perkhidmatan air diurus dengan cekap dan berkesan.



PETALING JAYA: Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sangat konsisten dengan pendiriannya mengenai pengurusan air di negeri ini, demikian ditegaskan pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan media hari ini.

Kata kenyataan itu, sejak Jun 2008, Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berulang kali mengingatkan semua pihak tentang pentingnya memastikan pengurusan dan perkhidmatan air diurus dengan cekap dan berkesan.

“Syarikat konsesi air yang ada sekarang (Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd – Syabas) telah gagal untuk berbuat demikian,” jelas kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, atas dasar yang sama, kerajaan negeri menyokong pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Akta ini digubal untuk memberi laluan kepada Kerajaan Pusat untuk memperbaiki peraturan yang lebih baik terhadap perkhidmatan air serta penyediaan infrastruktur air.

“Perlu ditegaskan di sini bahawa WSIA secara langsung mengakui kelemahan penswastaan yang sehingga kini gagal menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur air yang berkualiti pada kos yang munasabah kepada pengguna.

Kenyataan itu berkata, Selangor menyokong aspirasi dan matlamat WSIA dan sentiasa bersedia untuk membincangkan penyusunan semula industri perkhidmatan air di negeri ini dengan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) untuk tujuan mengambil alih aset air milik kerajaan negeri bernilai lebih RM12 bilion.

“Selepas itu menyerahkan operasi perkhidmatan air kepada sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri,” kata kenyataan itu.

Syabas gagal penuhi obligasinya

Kenyataan itu berkata, kerajaan negeri berpendirian bahawa Syabas tidak sesuai dikekalkan sebagai pengendali perkhidmatan air di negeri ini kerana ia telah gagal memenuhi obligasinya di bawah perjanjian konsesi.

“Syabas gagal dalam usaha pengurangan peratusan air tidak berhasil (NRW), mengadakan program penggantian paip secara mantap dan berterusan, pengumpulan dana awam secara tidak sah menerusi Tabung Budi dan kegagalan bekerjasama dengan juruaudit yang dilantik oleh kerajaan negeri.

“Tambahan pula, akaun Syabas yang telah diaudit bagi 31 Disember 2010 menunjukkan bahawa syarikat itu menghadapi masalah kewangan.

“Malah, syarikat induk Syabas, Puncak Niaga Holdings Berhad dalam kedudukan teknikal PN17, tetapi diberikan pengecualian oleh Bursa Malaysia Securities dari dikategorikan sebagai PN17 dan juga diberikan sehingga 30 Jun 2012 untuk membetulkan kedudukan kewangan.

“Sehingga kini, Bursa Securities tidak memberi penerangan yang memuaskan kepada kerajaan negeri sebab-sebab pengecualian yang diberikan kepada Puncak Niaga,” kata kenyataan itu.

Walaupun kerajaan negeri terdahulu keberatan untuk mengambil tuindakan ke atas syarikat konsesi atas kegagalan pengurusan perkhidmaan air, kerajaan Pakatan tidak berhasrat untuk meneruskan kesilapan itu dan terus membenarkan syarikat konsesi ini untuk terus mendapatkan keuntungan yang tinggi di atas kesusahan rakyat.

Kerajaan negeri merasakan bahawa penyelesaian yang terpakai bagi memastikan perkhidmatan air berkualiti kepada rakyat Selangor adalah menerusi penstrukturan semula sektor perkhidmatan air di mana PAAB memiliki dan mengembangkan aset air manakala syarikat milik penuh kerajaan negeri menguruskan perkhidmatan air.

“Nyata, kerajaan negeri telah bersedia untuk menggunapakai WSIA dan sekarang menunggu Kerajaan Pusat membuat keputusan yang profesional atas kepentingan rakyat yang berjumlah lima juta pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” jelas kenyataan itu.

Tiada ulasan: