Isnin, 6 Februari 2012

Bantuan untuk keluarga miskin: Phee Boon Poh ditugaskan untuk menyiasat

Lim Guan Eng


Kerajaan negeri Pulau Pinang mengalu-alukan kesediaan Penasihat Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Zainal Abidin Osman selepas tunggu tiga tahun, untuk memberikan maklumat 301 buah keluarga miskin tegar dan miskin yang mendapat bantuan Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) sebanyak RM1.1 juta pada 2009.

Hanya selepas tiga tahun, barulah sudi Zainal menjelaskan bahawa SPKR sebanyak RM1.1 juta diberikan bukan kepada 22 buah keluarga miskin tegar tetapi sebenarnya kepada 301 keluarga miskin. Zainal selaku Pengerusi Perhubungan UMNO negeri Pulau Pinang telah dilaporkan di Berita Harian pada 26 Februari 2009 bahawa dana RM1.1 juta telah diperuntukkan untuk SPKR untuk membantu 22 keluarrga miskin tegar.

Dalam laporan Berita Harian 26 Februari 2009 daripada George Town, tidak ada sebarang sebutan istilah Nibong Tebal atau bahawa 22 buah keluarga miskin tegar adalah hanya daripada Nibong Tebal. Sekiranya RM1.1 juta diagihkan kepada 22 buah keluarga miskin, maka setiap keluarga akan memperolehi RM50,000.

Ahli EXCO kerajaan negeri Phee Boon Poh telahpun menulis dua surat pada 7 April 2009 dan 12 Mei 2009 kepada Zainal, tetapi beliau enggan jawab. Satu laporan polis telahpun dibuat oleh Phee pada 31 Julai 2009, meminta siasatan polis dalam perkara ini tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil.

Dalam penjelasan terbaru oleh Zainal, 301 buah keluarga yang menerima RM1.1 juta ini bermakna setiap keluarga miskin memperolehi RM3,654. Perlu ditanya mengapa hanya 301 buah keluarga miskin yang mendapat faedah sedangkan ada lebih 700 keluarga miskin tegar di Pulau Pinang. Mengapa 400 buah miskin tegar tidak mendapat perhatian daripada Kementerian Zainal?

Satu lagi perkara yang menarik ialah kenyataan Zainal bahawa jumlah RM1.1 juta itu adalah sebahagian daripada bantuan keseluruhan SPKR sebanyak RM22.9 juta di Pulau Pinang dari tahun 2008 hingga 2012 untuk membantu 3,938 peserta miskin dan miskin tegar. Ini bermakna 22.9 juta telah diberikan dalam lebih tiga tahun ini kepada 3,938 peserta miskin ataupun secara purata setiap keluarga dapat RM5,815.

Ini menimbulkan persoalan macam mana 3,938 keluarga miskin dipilih oleh Zainal atau pihak Kementerian persekutuan kerana masih ada ramai keluarga miskin yang tidak menerima bantuan RM5,815 tersebut.

Ahli EXCO Kerajaan Negeri Phee Boon Poh ditugaskan untuk mendapat maklumat keluarga miskin atau miskin tegar yang diberikan bantuan daripada Zainal Abidin Osman supaya dapat membandingkan senarai keluarga miskin dan miskin tegar tulin agar bantuan sampai benar-benar ke tangan mereka.

*Kenyataan media oleh Lim Guan Eng (gambar kanan) selaku Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tiada ulasan: