Isnin, 6 Februari 2012

Saya mahu bersama keluarga Beng Hock menghadapi keputusan mahkamah

Nashita Md Noor


"Beng Hock menggalas harapan orang ramai untuk menemui kebenaran. Harapan sedemikian sebenarnya adalah keprihatinan orang ramai terhadap satu masyarakat yang bebas dari kezaliman dan keganasan. Harapan sedemikian menunjukkan bahawa kebenaran adalah mustahak. Seandainya kebenaran tidak penting, maka keganasan dan kezaliman yang tidak dikecam dan dihukum berdasarkan undang-undang bakal kembali semula. Usah lagi kami berbicara untuk mempertahankan nilai masyarakat yang lain." Wahai PM, sejak bila kes Teoh Beng Hock dipandang berat?

Kata-kata di atas sungguh bermakna, bermakna buat kita yang mahu lihat keadilan tertegak, kebenaran diserlahkan. Kata-kata di atas diluahkan oleh ahli keluarga Teoh Beng Hock menjelang tarikh Mahkamah Persekutuan 2 Februari 2012, bakal menyampaikan keputusan kepada rayuan abang Mendiang Teoh Beng Hock yang ingin mencari kebenaran di dalam kes kematian adiknya di bawah jagaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Peristiwa berlaku pada 16 Julai 2009. Saya masih mengingati peristiwa itu. Imej Teoh Beng Hock yang terdampar di atas bumbung bangunan yang menempatkan pejabat SPRM jelas di dalam ingatan saya. Saya yakin seluruh rakyat yang melihat imej itu terkejut dengan apa yang ada di depan mata dan terkejut dengan peristiwa tersebut. Gambar tersebut kelihatan amat menyedihkan, sukar diterima akal bahawa beliau terjun membunuh diri.

Isu apa bangsanya atau apa agama yang dianutinya tidak boleh diambil kira lagi. Keadilan untuk Mendiang Beng Hock, ahli keluarganya, secara khusus dan secara umumnya kepada seluruh rakyat Malaysia. Bukannya semata anak bangsa Melayu, Cina, India, Kadazan atau suku kaum mana jua.

Kematiannya perlu dibela dan mendapat pembelaan, sedih sekali dengan peristiwa tersebut. "Teoh Beng Hock's body was found sprawled on the 5th floor of the Plaza Masalam", itulah tajuk berita yang menggemparkan pada tarikh tersebut.

Kini lebih dua tahun telah berlalu, ahli keluarganya masih lagi mencari ruang bagi mencari kebenaran tersebut walau Suruhanjaya di Raja menyiasat kematian Teoh beng Hock telah memutuskan bahawa Teoh Beng Hock telah membunuh diri kerana tertekan dengan soal-siasat SPRM yang terlalu agresif.

Sungguh hilang perkataan bagi menggambarkan kekejaman dan kezaliman yang berlaku ini. Apatah lagi bagi ahli keluarga ini.

2 Februari 2012, awal pagi setelah menghantar anak ke sekolah saya masih berkira-kira apakah saya mahu memandu jauh ke Putrajaya untuk bersama memberikan sokongan. Terlalu banyak perkara yang mahu diselesaikan namun ingatan saya tetap bersama keluarga ini. Sebolehnya mahu ada di sana bersama mereka sebagai bukti jelas bahawa kami prihatin. Apa jua keputusan yang bakal diterima kami mahu ada bersama.

Jam 8 pagi saya menerima panggilan dari seorang teman yang juga aktivis yang dua kali merengkok di dalam penjara bersama.

"Kak, pergi Putrajaya tak?" tanpa bertanya apa sebabnya dan seolah mengerti apa yang dia maksudkan saya menjawab, "Ya, nak pergi ni."

Segera saya bersiap dan menuju ke Putrajaya dari Gombak. Tiba di sana saya terpegun melihat masih ramai yang turut sama hadir memberikan sokongan pada ahli keluarga yang malang ini. Sudah tentu ianya majoriti tertumpu kepada satu bangsa sahaja. Saya tersenyum di dalam hati kerana saya berjaya hadir dan buktikan bahawa dalam perjuangan mencari kebenaran dan menegakkan keadilan kita tidak mengira apa bangsa dan agama. Dalam apa hal sekalipun.

Kawan-kawan keluarga Teoh Beng Hock menunjukkan gelang getah berwarna hitam yang dipakai di tangan mereka. Adik Teoh Beng Hock juga menunjukkan gelang tersebut. "Julai 2009" lebih dua tahun berlalu, tulisannya telah pudar namun ingatan mereka padanya tidak pernah pudar.

"Kami Tetap Ingat" Seorang lelaki yang baik, sudah dekat tarikh mendirikan rumahtangga dengan wanita pilihan hatinya. Namun dek kerana dakwaan salahguna wang berjumlah kira-kira RM2,400 oleh seorang ahli politik maka beliau telah menjadi mangsa soal siasat hingga membawa kepada kematianya. Hati ibu mana yang tidak hancur, kecewa dan marah. Saya berkongsi perasaan itu walau tidak parah dizalimi oleh mereka yang zalim seperti keluarga ini.

Merah mata adiknya, sugul wajah ibunya memegang erat gambar mendiang anaknya. "3 orang itu hanya digantung kerja." Perlahan ibunya meluahkan perasaan tentang ketidakpuasan hati dengan apa yang berlaku dalam sistem yang ada.

Saya turut menghadiri salah satu sidang siasatan Suruhanjaya di Raja yang dijalankan di Mahkamah Jalan Duta. Saya mendengar sesi soalan dan keterangan yang diberikan oleh saksi yang dipanggil dari kakitangan SPRM yang terlibat. Sukar diterima di hati ini. Saya mengingati sebahagian kenyataan yang diberi "Teoh Beng Hock diletakkan di sebuah bilik seorang diri, lewat malam. Dia kelihatan diam dan murung." Saya membayangi situasi ini dan merasa sedih dan kesal dengan apa yang berlaku.

Saya juga jika berada di tempat mereka, jika musibah begitu berlaku kepada saya, saya pasti akan bangun menentang dan berjuang bagi menegakkan kebenaran untuk orang yang disayangi. Saya mengingati kembali peristiwa ketika suami saya bersama sembilan yang lain ditangkap di Perhimpunan Aman membantah perlantikan Menteri Besar Perak. Mereka telah dipenjarakan selama empat hari dan pada hari kedua mereka telah dibawa ke Mahkamah tanpa dimaklumkan kepada peguam dan ahli keluarga. Saya tidak dapat membayangkan perasaan saya ketika itu, sungguh takut dan marah apatah lagi kisah kematian dalam tahanan A.Kugan baru sahaja didengar berlaku. Saya menangis menahan rasa kerisauan dan marah ketika itu.

Teoh Beng Hock masuk ke pejabat SPRM sehari dalam keadaan yang sihat, tenang dan waras, malangnya keesokan paginya tubuhnya terdampar di atas sebuah bangunan. Hasil siasatan pula menunjukkan beliau membunuh diri kerana tertekan dengan sesi soal siasat.

"Rayuan dibenarkan, rayuan dibenarkan." Air mata sudah kering, wajah sugul kembali tenang, kami bersalaman dan berpelukan. Sedikit sinar kelihatan di wajah adik Teoh Beng Hock. Keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan ahli keluarga Teoh beng Hock. Nampak sedikit sinar di lorong yang panjang dan sempit, yang disempitkan oleh segala bentuk ketidakadilan dan kezaliman semata-mata kerana mereka yang berkuasa mahu terus berkuasa hingga sanggup melihat rakyatnya sendiri terbunuh dan dibunuh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nazri Aziz (gambar kanan), "Bagi pihak kerajaan, saya melahirkan rasa kesal kepada keluarga mendiang Teoh. Kerajaan turut bersedih dengan kejadian ini dan dengan selesainya siasatan Suruhanjaya Duraja ini, saya berharap semua pihak, termasuk keluarga Teoh dapat menutup episod ini," katanya.

Mudah bunyinya sedangkan satu nyawa melayang dengan kejamnya. Mana mungkin perkara sebesar dan sezalim ini dapat dilupakan dan ditutup begitu saja. Keluarga malah rakyat yang prihatin akan tetap mahu mencari kebenaran dan melihat keadilan ditegakkan.

Justice for Teoh Beng Hock. Seorang anak kecil dijulang tanpa si anak kecil itu tahu bahawa bapanya telah menjadi mangsa kezaliman.

"Kami tetap ingat, Kami tidak lupa." Kami akan terus bersama berjuang menegakkan kebenaran dan melawan kezaliman.

*Nashita Md Noor ialah ibu kepada empat orang anak, suri rumah, aktivis masyarakat, tiga kali ditangkap dan dua kali merengkuk dalam penjara. Kini dibicarakan untuk dua kes perhimpunan aman, PROTES kenaikan harga barangan dan himpunan Mansuh ISA.

Tiada ulasan: