Sabtu, 11 Februari 2012

Anak mahu halang EGM KPF 22 Feb ini

Bimbang kemungkinan besar unsur sogokan terhadap perwakilan EGM bagi membolehkan usul untuk menyenaraikan KPF dalam Bursa Malaysia dipersetujui dan disokong.



KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) hari ini mahu menghalang Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) daripada meneruskan agenda Mesyuarat Agung Khas (EGM) yang dijadualkan pada 22 Februari depan.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata, difahamkan EGM yang menelan kos RM1juta itu nanti akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Perdana Felda di sini dan akan mengumumkan ‘durian runtuh’ kepada perwakilan.

“Kalau ianya berlaku ini satu rasuah dan kita akan minta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memantau sebelum dan semasa perjalanan sepanjang EGM berlangsung,” katanya.

Sementara itu, Mazlan berkata pihaknya akan menghantar permohonan kepada Lembaga Pengarah Felda di Ibu Pejabat Felda di Jalan Maktab di sini Khamis depan untuk mengadakan EGM KPF berlainan bagi menghalang KPF terlibat dengan Felda Global Ventires Holdings (FGVH) disenaraikan dalam Bursa Malaysia.

“Dalam EGM itu nanti kami juga mahu KPF dilarang sama sekali melupuskan ekuiti milik KPF dalam Felda Holding Berhad (FHB) dan 10 anak-anak syarikat milik FHB keapda FGVH atau kepada mana-mana syarikat yang telah atau bakal ditubuhkan oleh FHB atau FGVH.

“Kami juga mahu KPF melarang sebarang jenis campur tangan dalam urusan harian KPF atau mengusik atau menyentuh atau melupuskan apa-apa ekuiti milik KPF dalam FHB,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di sini hari ini.

Isa guna wang Felda

Katanya, tuntutan EGM itu akan dibuat di bawah Fasal 29(1) Undang-Undang Kecil dan Seksyen 40 (1) Akta Koperasi 1993 yang membolehkan minimum 5 hingga 100 ahli koperasi menghadiri EGM.

Dalam masa yang sama, peguam mewakili peneroka Mohd Haris Abdullah berkata pihaknya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuantan pada Jumaat depan bagi menuntut supaya EGM pada 22 Februari nanti dibatalkan.

“Jika gagal, kita akan memfailkan injuksi interim bagi menghalang Felda melaksanakan resolusi yang dipersetujui dalam EGM KPF,” katanya.

Sementara itu, Mazlan dalam siri pendedahan kedua penyelewengan Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad mendakwa bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu membelanjakan sejumlah RM353,375 wang Felda bagi tujuan jamuan Aidilfitri di kediamannya di Port Dickson, Negeri Sembilan.

Mengikut laporan penyata kewangan 2011, jamuan itu dibuat pada 10 September tahun lalu dan dihadiri kakitangan Felda seluruh negara.

Namun katanya, jumlah itu belipat kali ganda daripada jumlah sebenar yang diperuntukkan Felda dan bertentangan dengan anjuran oleh pengerusi Felda sebelum ini dengan memperuntukkan hanya RM30, 000 dan perlu dibuat di Ibu Pejabat Felda sahaja.

Selain itu, lebih mengejutkan dalam laporan kewangan Felda apabila isteri Isa, Bibi Sharliza Mohd Khalid turut membuat jamuan yang sama dengan menggunakan dana Felda berjumlah RM17,875 pada 17 September lalu di Taman Fatimah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

“Bagaimana peruntukan Felda ini dikeluarkan kepada isteri Pengerusi Felda.

“Selepas ini kita akan dedahkan lagi siapa Isa yang membelanjakan wang Felda berjuta ringgit dan melesapkan wang peneroka untuk kerja politik peribadi beliau,” soalnya yang akan mengemukakan laporan kepada SPRM dalam masa terdekat.

Tiada ulasan: