Ahad, 29 Januari 2012

Sokong Israel: Media/blogger Umno-BN putarbelit

"Kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi," kata Anwar Ibrahim.



PETALING JAYA: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa wawancara beliau oleh The Wall Street Journal bahawa beliau menyokong terhadap usaha melindungi keselamatan Israel telah diputarbelit oleh media/blogger Umno-Barisan Nasional.

“Saya diwawancara oleh The Wall Street Journal pada hari Khamis, 26 Januari lalu dan antara soalan yang ditanya kepada saya adalah berkaitan dasar luar negara dan isu Palestin.

“Saya tuntas menegaskan bahawa kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela dan itu merangkumi hak untuk mendirikan negara sendiri serta tidak terus dizalimi,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menurut Anwar, beliau mengungkapkan bahawa jika syarat ini dipenuhi maka wajarlah hak rakyat Israel juga dihormati. Berikut adalah jawapan yang beliau berikan:

“I support all efforts to protect the security of the state of Israel,” said Mr. Anwar, although he stopped short of saying he would open diplomatic ties with the Jewish state, a step which he said remains contingent on Israel respecting the aspirations of Palestinians.”

Keadilan Sejagat

“Pendirian saya ini ternyata sejajar dengan prinsip perjuangan PKR yang menjunjung tinggi prinsip Keadilan Sejagat dan tegas membela hak mereka yang dizalimi,” jelas Ketua Umum PKR itu yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.

Beliau berkata pandangannya adalah selari dengan Resolusi 1397 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan

Inisiatif Keamanan Arab (Arab Peace Initiative) yang berteraskan Penyelesaian Dua Negara atau lebih dikenali sebagai Two-State Solution.

“Malahan dasar luar negara juga menekankan prinsip Penyelesaian Dua Negara sebagaimana yang diungkapkan Menteri Luar kita,” katanya.

Ketika Perbahasan Perhimpunan Agung PBB Sesi ke-66 pada 27 September 2011 di New York (General debate of the 66th session of the United Nations General Assembly), Menteri Luar menyebut:

“…Malaysia fully supports the legitimate rights of the Palestinian people for an independent State of Palestine, based on the two-state solution, taking into account the security concerns of both parties (Israel and Palestine).”

Tegas Anwar, “ternyata dari kenyataan Menteri Luar, dasar Malaysia adalah bersedia menghormati hak rakyat Palestin dan Israel untuk menikmati keamanan dan kedamaian. Akan tetapi kesediaan kita pastinya bergantung kepada syarat selagi mana hak rakyat Palestin tidak dicerobohi.

“Justeru saya memberi amaran keras kepada mana-mana pihak yang cuba memutar belit kenyataan saya semata-mata mahu menyebar fitnah kononnya saya mengkhianati aspirasi rakyat Palestin,” ujarnya.

Pendirian PKR katanya adalah tuntas membela hak sesiapa sahaja yang dirampas dan dizalimi. Iltizam untuk memastikan keadilan buat semua tidak pernah surut malah pastinya digilap dan diperkukuh.

Semalam, sebuah akhbar arus perdana bahasa Malaysia melaporkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka menyatakan sokongannya terhadap usaha melindungi keselamatan Israel.

Tiada ulasan: