Isnin, 30 Januari 2012

PR perlu ambil Putrajaya elak negara bankrap

Khairil Abdul Rahim,


BERA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu percaya keperluan utama untuk memerintah dan menguruskan negara ini ialah dengan amanah, bukannya dengan pengalaman semata-mata.

Katanya, ini terbukti dengan negeri-negeri yang pertama kali diperintah Pakatan Rakyat (PR) iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Kedah yang menunjukkan prestasi memberangsangkan seperti dipuji Ketua Audit Negara.

(Gambar: Mohamad melancarkan penubuhan Kerabat Peringkat Parlimen Bera.)

“Kita dapat lihat Selangor berjaya memberikan kebajikan kepada rakyatnya di samping perbelanjaan berhemat kerajaan negeri menghasilkan lebihan pendapatan.

“Di Pulau Pinang pula pelaburan tertinggi berjaya dibawa masuk sehingga lebih RM10 bilion dan walaupun diperintah Cina DAP peruntukan untuk aktiviti Islam melonjak sehingga RM63 juta.

“Di Kedah hasil balak berjaya ditingkatkan sehingga pendapatan negeri meningkat berkali ganda.

“Di Kelantan sepanjang 20 tahun memerintah kerajaan negeri diisytiharkan bersih. Semua ini dipuji Ketua Audit Negara dalam laporannya,” katanya.

Jelasnya, ini membuktikan amanah adalah keperluan utama untuk memerintah bukannya pengalaman sebagaimana propaganda yang dilemparkan Umno mengenai hasrat Pakatan PR untuk mara ke Putrajaya.

Mohamad berhujah demikian semasa berceramah sempena program Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera, di Darul Ikhwan Mengkarak malam tadi.

Turut berceramah Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Adun Sekinchan Ng Suee Lim, Pengerusi Kerabat Kolonel (B) Tengku Nazri Tengku Mokhtar, Timbalan Pengerusi PKR Pahang Ahmad Nizam Hamid dan Bendahari PAS Pahang Musaniff Abd Rahman.

Dalam pada itu Mohamad menambah, PR perlu ke Putrajaya selepas pilihan raya umum (PRU) jika rakyat tidak mahu melihat negara ini terjerumus ke dalam bankrap.

“Seorang menteri (Datuk Seri Idris Jala) sendiri memberitahu Malaysia akan bankrap pada 2019 manakala seorang penganalisis ekonomi memberitahu negara ini akan bankrap lebih awal iaitu 2015.

“Jadi rakyat mesti memilih PR untuk ke Putrajaya pada PRU ini kerana tidak ada gunanya memberi peluang mentadbir negara selepas jatuh bankrap,” katanya.

Mohamad berkata, beliau percaya negara ini boleh bankrap berdasarkan hutang yang dilonggokkan kerajaan pada masa ini berjumlah RM450 bilion, rasuah meningkat dan pengaliran wang ke luar negara menjangkau RM1 trillion sejak sepuluh tahun yang lalu.

Sementara itu Nurul Izzah dalam ceramahnya sebelum itu menggambarkan kesulitan PR untuk mempertahankan kerusi Selangor dan Wilayah Persekutuan dalam PRU akan datang dengan taktik kotor BN.

“Bayangkan di Selangor dan Wilayah pengundi baru bertambah secara mendadak sehingga 200,000 orang dan saya berani katakan sebahagian besarnya pendatang yang diberikan kad pengenalan.

“Tuan-tuan jangan ingat ini gurauan, kerajaan Bangladesh sendiri telah mengesahkan perkara ini dan penipuan ini pernah berlaku di Sabah dulu sehingga dibentuk Suruhanjaya Diraja,” katanya.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, begitulah BN yang sanggup memberi kewarganegaraan hanya semata-mata untuk menang PRU dan perkara ini perlu disedari rakyat.

Pada majlis yang sama, Mohamad diberikan penghormatan melancarkan penubuhan Kelab Kebajikan Veteran & Pesara Tentera (KERABAT) peringkat Parlimen Bera.

Penyair Amin Jagat pula diberi peluang mendeklamasikan puisinya.

Sementara itu di lokasi yang sama pada sebelah petang turut diadakan Dialog Warga Peneroka Felda bersama panelnya bekas Timbalan Pengarah BNM Dr. Rosli Yaakop, Presiden Anak Mazlan Aliman dan Peguam Peneroka Harris Abdullah.

Sambutan 60 Tahun PAS Peringkat Parlimen Bera berlangsung selama tiga hari iaitu 27, 28 dan 29 Januari dengan pelbagai pengisian.

Tiada ulasan: