Selasa, 31 Januari 2012

Bankrap: Pakatan Rakyat tidak tiru cara BN


Harakahdaily,


KUALA LUMPUR:
Pakatan Rakyat (PR) sama sekali tidak akan meniru cara BN menguruskan negara jika diberi mandat oleh rakyat, kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Ini, katanya kerana negara akan bankrap jika PR meniru cara BN.

Beliau menyatakan demikian sebagai respons kepada ucapan Datuk Seri Najib ketika bercakap di Arau yang mempersendakan kemampuan Pakatan Rakyat yang membuat berbagai tawaran yang disifatkan boleh menghancurkan negara.

“Tuduhan ini adalah lahir daripada seorang yang resah dengan tawaran demi tawaran yang dikemukakan oleh PR,” katanya kepada Harakahdaily.

Jelas Idris, pemimpin PR membuat tawaran setelah dikaji daripada mana sumber kewangan yang akan diperolehi, bukan bertindak secara membabi buta.

Setakat hari ini, ujarnya semua negeri PR tidak ada masalah, cuma yang bermasalah ialah negeri di bawah pentadbiran Umno BN.

Katanya, Sabah dan Terengganu, walaupun memiliki hasil minyak, malangnya rakyat berada di tangga pertama dan kedua dari segi kemiskinan tegar.

“Yang mengatakan negara akan bankrap pada tahun 2019 ialah Datuk Seri Idris Jala, Menteri Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Secara sinis katanya, memang negara akan hancur jika pemimpin PR memberi projek lembu RM250 juta kepada suami menteri yang bukan ahlinya.

Tambahnya lagi, negara bankrap jika bil elektrik rumah Perdana Menteri dan Timbalan Menteri RM160,000 sebulan dan bil air pula RM31,000 sebulan.

“Memang bankrap jika kos penyelenggaraan rumah rasmi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM48 juta dan kos menyewa rumah Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri tahun 2006-2010 sebanyak RM33 juta,” katanya.

Beliau menambah, negara bankrap jika PR meneruskan usaha memberi subsidi loji penjana kuasa sebanyak RM19 bilion, sedangkan subsidi minyak untuk rakyat sebanyak RM11 bilion cuba dikurangkan.

Menurutnya lagi, negara bankrap jika PR tidak menghentikan amalan rasuah sehingga negara mengalami kerugian RM28 bilion setahun.

Katanya, negara akan bankrap jika pemimpin PR tidak ambil peduli setiap tahun teguran Ketua Audit Negara.

Contohnya, kata beliau Laporan Audit Negara 2006, bagaimana Kementerian Pertahanan boleh membayar kepada kontraktor sebanyak RM943.46 juta walaupun tanpa baucer.

“Jika trend ini ditiru memang negara akan bankrap,” ujarnya.

Justeru, katanya PR jangan meniru perangai buruk pemimpin Umno BN yang menjahanamkan khazanah negara.

“Negara yang kaya dengan bahan mentah dan bumi yang subur tidak sepatutnya ada rakyat yang masih tidak bertanah, malahan ada yang tinggal di dalam air seperti di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Tiada ulasan: