Jumaat, 10 Jun 2011

Wakil rakyat digesa pantau pembangunan sukan kawasan sendiri

KENINGAU KINI


Musa Aman menyumpit sebagai simbolik merasmikan pembukaan Sukan Sabah kelima di Stadium Kompleks Sukan Keningau, kelmarin.
KENINGAU - Semua wakil rakyat di negeri ini diminta memantau pembangunan sukan di kawasan masing-masing bagi memastikan ia selari dengan hasrat kerajaan untuk memperkasakan bidang tersebut di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata, langkah itu penting bagi memastikan lebih ramai bakat muda dapat diketengahkan dalam pelbagai kejohanan sukan dalam dan luar negeri.

"Menyedari sukan amat signifikan dalam menjana pembangunan modal insan kelas pertama, kerajaan memberi peruntukan yang besar untuk memperkasakan belia dan kemajuan sukan di negeri ini.

"Jadi, selain membina prasarana sukan, sistem pengurusan dan pentadbiran sukan yang berkesan juga akan diberi penekanan dengan melahirkan jurulatih, pentadbir, pegawai teknikal dan atlet yang unggul dan berpengetahuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian pembukaan Sukan Sabah (Saga) Kelima di Stadium Kompleks Sukan Keningau di sini malam semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Infrastruktur negeri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan; Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Yahya Hussin dan Menteri Belia dan Sukan negeri, Datuk Peter Pang En Yin.

Menurut Musa, kerajaan negeri amat komited untuk memajukan lagi sukan negeri ke tahap yang lebih tinggi.

Jelasnya, ini dapat dilihat apabila lebih RM22 juta diperuntukkan dalam dua tahun pertama Rancangan Malaysia Ke-10 bagi membina dan menaik taraf kompleks-kompleks sukan negeri.

"Pada tahun ini sejumlah RM8.7 juta diperuntukkan bagi tujuan kemajuan sukan dan RM10.5 juta lagi diperuntukkan untuk pembangunan belia.

"Selain itu kerajaan juga memberi geran tahunan kepada persatuan sukan negeri, membantu penganjuran dan penyertaan pertandingan sukan pelbagai peringkat serta memberi insentif dan pengiktirafan kepada ahli-ahli sukan yang cemerlang," katanya.

Sementara itu beliau berkata, penganjuran Saga membuktikan usaha berterusan kerajaan bagi memastikan Sabah tidak ketandusan atlet yang berpotensi.

Katanya, Saga menjadi platform bagi mencungkil dan mengetengahkan lebih ramai atlet berpotensi dari peringkat akar umbi mewakili bidang sukan masing-masing.

Tiada ulasan: