Khamis, 2 Jun 2011

Semakin Banyak NKRA Berpenyakit?

Oleh : SHAIMON S JUMADI (sabahkini)


PADA mulanya penduduk Kampung Lomou, Telupid sangat berterima kasih kepada Wakil Rakyat Labuk, Datuk Seri Micheal Asang kerana telah meluluskan projek menaik taraf Jalan Pekebun Kecil Lomou Manisukang, Telupid sejauh 6. Kilometer.

“Kami, selaku penduduk kampung seramai 300 orang gembira apabila mengetahui kerajaan telah meluluskan projek naik taraf jalan kampung kami. Inilah rahmat yang kami tunggu-tunggu selama ini,” jelas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Lomou, Marius Samidau, 46, yang mendedahkan hal ini kepada Wartawan Sabahkini.Net semasa membuat tinjauan ke kampungnya kelmarin.

Namun kata Marius, seminggu sebelum kerja-kerja menaik taraf jalan tersebut bakal dilaksanakan kontraktor, Michael Asang mengumumkan dalam satu perjumpaan di balairaya kampung berkenaan yang dihadiri 200 penduduk, projek berkenaan akan dialihkan ke kawasan lain yang lebih memerlukan jalan berkenaan.

“Kami betul-betul terperanjat bila mendengar kenyataan yang diumumkan sendiri oleh Datuk Michael. Saya cakap dengan Ketua Kampung, apa sudah jadi? Saya kesal kerana Adun kami sanggup berbuat demikian,” jelas Marius dengan perasaan sedih dan terkesima dengan senario berkenaan.

Sebagai Pengerusi JKKK yang menjaga kebajikan seramai 300 penduduk di kampung Lomou, kata Marius, beliau ditempelak penduduk kampung akibat kelancangan dan ketidak prihatinan wakil rakyat mereka yang disifatkan merampas hak mereka.

Menurut Marius, beliau hairan dengan sikap Adun Labuk yang tidak menyatakan alasan munasabah kenapa peruntukan yang dijanjikan untuk kampung Lomou dipindahkan ke kampung lain sedangkan tender dibuka untuk kampung Lomou.

“Inikah harga yang terpaksa kami bayar? Saya bimbang penduduk kampung ini akan mengalihkan sokongan kepada pembangkang dan amat sukar bagi kita untuk memujuk mereka mengundi calon BN kerana kecewa dengan tindakan Datuk Michael. Kita harap agar projek berkenaan dikembalikan ke kampung ini,” kata Marius lagi.

Tambah Marius lagi, projek ini sebenarnya adalah salah satu contoh projek NKRA yang berpenyakit kerana dilaksanakan di bawah Projek JALB Negeri Sabah Di Bawah Program NKRA yang disalurkan melalui Kementerian Infrastruktur Sabah.

Tiada ulasan: