Isnin, 20 Jun 2011

PRU-13: 60 peratus calon PKR sudah ada, Biro Politik teliti awal Julai




Azmin Ali (kanan sekali) bersama Anwar Ibrahim dan Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Konvensyen Pilihan Raya PKR di bangunan SACC, Shah Alam petang tadi. — Foto oleh Choo Choy May
SHAH ALAM — Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengenal pasti sekitar 60 peratus calonnya, yang bakal bertanding pada pilihan raya umum ke-13 dan senarai itu akan dikemukakan kepada kepimpinan pusat dalam tempoh dua minggu untuk keputusan.

Timbalan presiden PKR Azmin Ali berkata, nama-nama itu disenaraipendekkan oleh kepimpinan peringkat negeri untuk diteliti oleh biro politik bulan depan.

“Saya boleh katakan sekitar 60 nama bakal calon sudah diputuskan,”kata beliau pada sidang media selepas Konvensyen Pilihan Raya PKR di sini hari ini.

Azmin yang juga pengarah pilihan raya PKR berkata calon-calon yang bakal diturunkan adalah bercampur-campur termasuk ada wakil yang menang kemungkinan dikekalkan dan ada yang kemungkinan digugurkan dengan mengambil kira faktor prestasi.

“Mereka yang tidak menunjukkan prestasi dan berkhidmat dengan baik tidak akan dipilih semula bagi pilihan raya umum akan datang.

“Tiada jaminan bahawa mereka yang menang pada masa lalu akan dipilih semula untuk bertanding,” katanya yang terdahulu ketika berucap menekankan bahawa pihaknya akan berhati-hati memilih calon berdasarkan pengalaman 2008-2010.

PKR kehilangan beberapa wakil rakyat peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri sejak awal 2009.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, PKR akan meletakkan calon di kerusi-kerusi yang wakil rakyat telah melompat parti dan dipecat.

“Sama ada kerusi Kulim-Bandar Baharu, Bayan Baru, calon (PKR) menang bukan kerana faktor individu tetapi rakyat mahukan perubahan dan memilih PKR... jadi, PKR akan meletakkan calon di kerusi-kerusi tersebut,” katanya.

Ada cadangan pada muktamar PAS awal bulan ini agar kerusi-kerusi berkenaan diserahkan kepada PAS untuk bertanding demi keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat.

Mengenai komposisi kerusi di kalangan komponen Pakatan Rakyat, Azmin berkata, umumnya jumlah yang diperuntukkan pada pilihan raya umum 2008 akan kekal.

PKR bertanding di 97 kerusi Parlimen tiga tahun lalu.

“Kecuali kemungkinan ada perubahan sedikit sebanyak, tetapi pada keseluruhannnya akan kekal,” katanya.

Azmin juga tidak menolak kemungkinan pertukaran kerusi antara parti komponen di kawasan-kawasan yang PKR kalah sebelum ini.

“Mungkin ada pertukaran kerusi di kawasan-kawasan yang kita kalah,” katanya lagi.

Tiada ulasan: