KUALA LUMPUR: Dengan andaian pilihan raya umum akan diadakan dalam masa enam bulan lagi, PAS mengarahkan semua peringkat partinya agar membuat pendaftaran pemilih secara besar-besaran.
Isu ini telah disebutkan segenap peringkat muktamar dan digulung oleh Ketua Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (gambar) agar pendaftaran pemilih secara besar-besaran dibuat.
"Saya menyaran tugas ini dipikul oleh Dewan Pemuda kerana mereka yang perlu didaftar adalah golongan muda.
"Sebanyak 3.5 juta remaja belum lagi mendaftar sebagai pemilih," kata Abdul Halim ketika berucap menggulung perbahasan Ucapan Dasar Muktamar PAS ke 57.
Untuk itu, beliau mengarahkan agar Pemuda Pusat memantau Pemuda Negeri dalam urusan ini manakala Pemuda Negeri pula pantau Pemuda kawasan, seterusnya Dun, Unit Peti Undi dan Cawangan.
"Saya yakin jika ia dilakukan dengan sistematik, kita akan berjaya dan jika kerja ini tidak dibuat, kita akan kalah atau kita tidak akan menang," kata Abdul Halim.
Abdul Halim memberikan contoh kelemahan PAS dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang, Tenang dan yang terakhir Merlimau adalah bermula dari PAS tidak mempunyai struktor yang baik di peringkat bawah.
"Kalau kita tidak ada cawangan pun, sekurang-kurangnya kita perlu ada jawatankuasa di peringkat Unit Peti Undi (UPU)," kata Abdul Halim.
Berhubung dengan perbahagian kerusi pula, Abdul Halim berkata, satu jawatankuasa khas telah dibentuk oleh PAS untuk berunding dengan Pakatan Rakyat.
"Kita serahkan pembahagian kerusi ini kepada negeri, mana yang tidak dapat diselesaikan di peringkat negeri sahaja baru pusat akan campur tangan," kata Abdul Halim.
Beliau juga berkata, bagi PAS, pemilihan calon yang boleh menang adalah yang utama baru diikuti oleh jawatan dalam parti.
|
Tiada ulasan:
Catat Ulasan