Ahad, 5 Jun 2011

Negara Kebajikan sebati dalam Negara Islam

Ismail Hashim



GOMBAK: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menyifatkan Umno sedang diserang hantu jembalang ekoran kenyataan pemimpin mereka yang sudah haru biru.

Menurutnya, ketika PAS bermuktamar dengan tema Membangun Negara Kebajikan, Umno menuduh PAS sudah lari prinsip perjuangan parti.

Katanya, pemimpin seperti Ali Rustam menyatakan PAS sudah hilang pedoman kerana sudah tidak bercakap tentang Negara Islam sebaliknya mula perjuangkan Negara Berkebajikan.

"Inilah haru birunya pemimpin Umno dalam menilai perjuangan PAS, kita konsisten dengan dasar dan hadaf perjuangan," tegasnya.

Beliau meminta ahli-ahli PAS mengambil panduan dari konsistennya pejuang lama seperti Pak Yazid Jaafar yang turut hadir.

Negara Kebajikan sebati dalam Negara Islam

Sementara itu di dalam ucapannya, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa menjelaskan perjuangan Negara Kebajikan adalah sebati dalam Negara Islam.

Menurutnya, sebelum muktamar media massa memberikan liputan besar dengan harapan PAS akan berpecah.

"Syukur apa yang media pro Umno harapkan PAS berpecah tetapi ahli dan pimpinan parti kita tidak dapat diganggu gugat," tegasnya.

Husam menyebutkan banyak program berkebajikan dilaksanakan di Kelantan dan rakyat terbanyak dapat merasai nikmatnya.

Katanya, dengan kesungguhan pemimpin PAS, anggota masyarakat dan rakyat dapat melihat program berkebajikan telah dilaksanakan di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Sementara itu, beliau menyeru semua ahli dan pemimpin Umno di peringkat cawangan segera tinggalkan parti bermasalah itu.

"Jika Najib merayu golongan muda wajib pertahankan Putrajaya bererti ia bakal jatuh bila-bila masa dalam PRU13 nanti.

"Jangan tunggu bangunan rumah runtuh dulu baru hendak menyelamatkan diri," tegasnya.

Artis sertai PAS

Naib Presiden PAS yang mendapat undi terbanyak, Haji Salahuddin Ayub berkata, golongan artis jangan bimbang untuk sertai PAS kerana Islam benarkan hiburan beracuan Islami.

Beliau mengulas kesudian selebriti terkenal Bob Lokman sanggup hadir dalam majlis ceramah malam ini.

Dalam hal ini, artis masih boleh menghasilkan karya-karya hebat seperti pernah dibuktikan oleh Negara Islam Iran.

Malah, ujarnya, hasil filem mereka telah mendapat perhatian dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.

Salahudin juga berkata, rakyat terbanyak sebagai pengundi sah dalam negata ini, sedang menunggu masa sahaja untuk membuat perubahan wajah politik negara dalam PRU13.

Tiada ulasan: