Khamis, 16 Jun 2011

Jamil Khir: 135 tidak sah masuk Islam, bukan murtad


KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom hari ini menjelaskan, isu 135 Muslim meninggalkan Islam antara 2000 hingga 2010 adalah tidak benar kerana ia hanya membabitkan isu tidak sah masuk Islam.

Beliau berkata, 135 kes tersebut bukanlah kes Muslim meninggalkan Islam tetapi kes tersebut telah di daftar di bawah kes murtad.

“Sebenarnya tidak timbul soal murtad. 135 kes yang dikatakan keluar dari Islam atau murtad tidak ada. Isu itu sebenarnya mengenai individu yang memohon ingin keluar dari Islam, tetapi mereka tidak sah masuk Islam. Jadi kes itu didaftar dibawah kes murtad,” katanya kepada The Malaysian Insider malam ini.

Jelasnya lagi, “bila orang pergi ke mahkamah, mereka memohon untuk keluar daripada Islam (murtad). Tetapi mahkamah dapati dia sebenarnya tidak sah masuk Islam. Jadi kes murtad itu tidak timbul.”

Jamil (gambar) berkata, terdapat kekeliruan yang berlaku berikutan jawapan yang diberinya adalah jawapan bertulis.

Beliau turut kesal kerana terdapat segelintir pihak yang dilihat cuba memainkan isu ini.

Semalam, terdapat laporan yang mengatakan kerajaan persekutuan membenarkan 135 Muslim meninggalkan Islam antara tahun 2000 dan 2010.

Jamil berkata seramai 686 Muslim telah mengemukakan permohonan di Mahkamah Syariah di seluruh negara untuk meninggalkan Islam sepanjang satu dekad itu.

Butiran lanjut tidak diberikan kecuali pecahan mengikut negeri.

Sabah mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 237 membuat permohonan dengan 67 dibenarkan oleh mahkamah dan disusuli Negeri Sembilan (172, 33 diluluskan), Wilayah Persekutuan (56, 10) dan Pulau Pinang (36, 1).

Sarawak dan Terengganu merekodkan kes murtad terendah dengan masing-masing satu manakala tiada kes langsung di Kelantan.

“Dalam menangani isu murtad, Jabatan Agama Islam Negeri sentiasa mengadakan program dan aktiviti bagi mengelakkan insiden ini daripada berlaku khususnya di kalangan saudara baru.

“Antara program yang ditawarkan ialah perkhidmatan kaunseling, kelas pengukuhan agama, kelas-kelas agama dan sokongan Baitulmal,” kata Jamil dalam jawapan bertulis kepada Er Teck Hwa (Bakri-DAP).

Lazimnya, Muslim tidak dibenar meninggalkan agama di Malaysia kecuali dalam kes-kes tertentu seperti yang membabitkan saudara baru.

Tiada ulasan: