ROKET KINI.COM SHAH ALAM,: Apa itu fitnah? Tiga ahli panel yang mewakili parti politik Melayu serta seorang cendekiawan agama telah mengemukakan pandangan mereka dalam soal yang telah memporakperandakan politik negara. Menurut bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin, fitnah adalah satu suasana kekacauan, keadaan yang kucar-kacir atau krisis yang menghuru-harakan keharmonian kaum, bangsa dan negara. “Punca fitnah boleh didorong oleh keinginan seseorang atau puak untuk memonopoli kuasa bagi menumpaskan lawan politiknya, malah unsur pengkhianatan dan rasuah menjadi elemen yang sangat penting terjadinya fitnah,” katanya dalam forum ‘Fitnah – ancaman umat akhir zaman’ di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini semalam. Dr Asri yang menjadi salah seorang ahli panel dalam forum itu menyatakan bahawa mendedahkan keaiban seseorang juga akan mendorong berlakunya fitnah kerana ia adalah salah satu dari perbuatan tercela dalam amalan budaya dan agama. Seorang lagi ahli panel Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaludin pula mengaitkan contoh fitnah yang didakwanya dilakukan oleh Pakatan Rakyat terhadap institusi kerajaan dan UMNO. “Budaya fitnah bukanlah dimulakan atau dimonopoli oleh UMNO,” katanya. Ahli panel Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan memberi contoh-contoh fitnah yang berkisar tentang keadaan seseorang atau kumpulan yang menjadikan fitnah sebagai satu senjata paling jahat untuk menewaskan seteru mereka. Beliau menganggap bahawa budaya politik hari ini didominasi oleh budaya fitnah yang berkembang biak tanpa ada kawalan atau usaha untuk menanganginya. Terdapat beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh penonton, antara yang menarik perhatian ahli panel adalah isu yang berkaitan dengan akhbar. Ramai yang berpendapat bahawa media juga menjadi salah satu alat menyebarkan fitnah. Khairy apabila ditanya menjawab bahawa prinsip media massa harus lebih jelas dan bertanggungjawab – walau pun beberapa pemerhati forum melihat kenyataannya bertentangan dengan amalan kerajaan UMNO dan BN. Malah ketiga-tiga ahli panel menyatakan bahawa kesemua media cetak atau elektronik termasuk dari media pembangkang harus berakauntabiliti dan bebas tanpa mengikut telunjuk ahli politik. Moderator forum Dr. Maszlee Malik menyimpulkan bahawa fitnah harus ditolak, budaya politik baru dengan memperjuangkan dasar dan tuntas dengan agenda rakyat yang mana ia harus digerakkan segera. “Budaya politik lama dengan unsur-unsur fitnah perlu ditinggalkan oleh ahli politik dan masyarakat,” katanya. Menurutnya, politik harus didasari dengan fakta yang jelas dan prinsip-prinsip menghormati individu, kaum, budaya dan agama. Keceriaan dan kehangatan wacana semalam membayangkan suatu masa nanti, politik Malaysia akan berubah dengan lahirnya wacana yang membuka ruang luas buat masyarakat terlibat secara sihat dengan arus politik. Namun para pemerhati forum melihat suara UMNO semalam hanya diwakili oleh Khairy, dan bukannya pucuk pimpinan parti yang masih takut dengan keterbukaan dan dialog bebas, serta “ringan tangan” untuk menutup ruang-ruang bersuara.
|
Khamis, 2 Jun 2011
Fitnah dan budaya Melayu
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan