Sabtu, 22 Januari 2011

Tenang: Cikgu Mala yakin pengundi sokong Pakatan buat kejutan



Normala Sudirman bersalam dengan suaminya Makrof Abu Mutalib selepas disahkan sebagai calon kerusi DUN Tenang tengah hari tadi. - Foto oleh Choo Choy May

LABIS — Calon PAS-Pakatan Rakyat Normala Sudirman percaya pengundi Tenang akan membuat keputusan bijak dengan memilihnya sebagai wakil rakyat yang baru bagi kerusi itu 30 Januari ini.

Beliau berkata pemilih DUN Tenang yang terdiri daripada lebih 14,000 orang akan membuat perubahan dan anjakan paradigma bagi memilih wakil rakyat yang boleh membela nasib mereka.

“Saya percaya pengundi Tenang akan buat kejutan demi masa depan anak bangsa, saya yakin pengundi akan buat perubahan.

“Saya yakin pengundi akan buat perubahan dan anjakan paradigma demi masa depan mereka. “Malah saya yakin dan optimis mandat akan diberikan dan pengundi akan buat pilihan terbaik untuk pilih wakil rakyat,” katanya kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon di pejabat Majlis Daerah Labis di sini.

Bagaimanapun Normala, 38, berkata beliau menyerahkan kepada pengundi membuat pilihan terbaik. “Saya serahkan mandat kepada pengundi pada 30 Januari ini,” katanya.

Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya Nasharudin Md Isa, Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pakatan Rakyat meletakkan Normala, Ketua Muslimat PAS Labis dan bekas guru sebagai calon manakala Barisan Nasional (BN) pula diwakili bekas Penolong Pentadbir Tanah Daerah Kecil Rengit, Mohd Azahar Ibrahim, 39.

Normala juga merupakan Pengerusi Lajnah Pendidikan Dewan Muslimat PAS pusat. Pilihan raya kecil DUN Tenang diadakan berikutan kematian penyandangnya dari BN, Allahyarham Datuk Sulaiman Taha pada 17 Disember tahun lepas akibat jangkitan kuman dalam darah dan kencing manis.

Sulaiman menewaskan calon PAS, Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi pada pilihan raya umum 2008. Proses penamaan calon selama sejam bagi pilihan raya kecil DUN Tenang bermula pada pukul 9 pagi di Pejabat Majlis Daerah Labis.

Tiada ulasan: