Isnin, 24 Januari 2011

' Talkin Umno Perlis': Ali sahut cabaran debat


Muhayat Jasmin

KANGAR: Cabaran debat dalam isu ' talkin untuk Umno Perlis' antara bekas Ketua Penerangan Umno Perlis, Datuk Hashim Suboh, dengan Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Padang Besar, Ali Ismail mungkin menjadi realiti menjelang Februari yang akan datang.

Menurut sumber dalaman Umno Perlis, konflik yang berlarutan antara Hashim dan Ali sudah hampir mencapai klimaksnya apabila Ali dikatakan sanggup menerima cabaran dari Hashim untuk mengadakan debat pada 3 Februari.

"Kalau segala persiapan berjalan lancar, Ali tidak ada apa-apa masalah untuk berdebat," kata sumber itu.

Bagaimanapun Harakahdaily difahamkan ada pihak daripada Umno tidak bersetuju dengan perdebatan tersebut kerana menyifatkan Hashim tidak layak untuk bersemuka dengan Ali untuk membicarakan masalah kepimpinan Umno negeri kerana beliau (Hashim) tidak memegang apa-apa portfolio dalam parti, sedangkan Ali masih lagi AJK Umno bahagian.

Dalam perkembangan lain, Ali dilaporkan telah membidas Hashim kerana mendakwa tidak memahami erti sebenar debat yang dilaung-laungkan.

"Debat ini adalah untuk memberi penjelasan sebenar kepada masyarakat tentang konflik yang timbul, ini termasuklah isu mentalkinkan Umno Perlis sepertimana yang dibangkitkan oleh Hashim dalam beberapa kenyataan beliau sebelum ini, " ujarnya.

Isu debat mengenai mengenai' talkin untuk Umno Perlis' yang mencetuskan konflik dalaman Umno Perlis itu dikaitkan rentetan daripada pertembungan antara 'team' Menteri Besar, Dr. Md Isa Sabu dengan ' team' bekas Menteri Besar, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Pertembungan kedua-dua kumpulan tersebut semakin parah apabila Shahidan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Umno Perlis manakala Md Isa dikekalkan sebagai pengerusi - satu jawatan yang pernah disandang oleh Shahidan sebelum ini.

Dikatakan beberapa usaha telah dibuat oleh Umno Pusat untuk meredakan kemelut di negeri utara tanah air itu namun masih menemui jalan buntu.

Tiada ulasan: