Abdul Rahim Sabri
PAS Johor dukacita dengan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang didakwa menjadi "Santa Klaus" kerana mengumumkan projek bernilai tinggi kepada masyarakat Felda menjelang pilihan raya DUN Tenang.
"Masyarakat Felda digula-gulakan sekali lagi oleh pemimpin (kerajaan) yang datang, gambaran mereka seperti Santa Klaus yang mengumumkan projek berbilion ringgit kepada rakyat Felda.
"Mungkin bagi orang awam, pengumuman perdana menteri dilihat sebagai pengumuman hebat dan dibanggakan tanpa mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya," kata ketua penerangan Johor Mazlan Aliman dalam satu sidang media.
Semalam Najib yang juga presiden Umno mengumumkan peruntukan RM1.31 juta untuk masjid, surau dan sekolah agama di ketiga-tiga Felda berkenaan.
Mazlan juga berkata pihaknya rasa dukacita berhubung kos persiapan sambutan kehadiran Najib semalam.
Mazlan mendakwa anggaran kos sambutan di tiga Felda - Felda Chempelak, Felda Chempelak Barat dan Felda Tenang - melebihi RM3 juta.
Banyak politiking
"Kita mempersoalkan dari mana datangnya wang itu. Kalau daripada wang warga Felda ia amat mendukacitakan.
"Kenapa tidak, perdana menteri umumkan projek yang mengutamakan masyarakat setempat, "katanya.
Sebagai contoh, katanya, warung dan kedai usang di Felda Chempelak yang didirikan sejak tahun 60 dan 70-an masih kekal tanpa sebarang penambahbaikan.
Mazlan berkata, beliau bimbang sekiranya ketiga-tiga Felda itu mengalami nasib yang sama seperti Felda lain dijanjikan projek untuk generasi kedua tetapi tergantung tanpa perkembangan.
Ahli jawatankuasa PAS itu juga mengumumkan akan menyerah memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin supaya perdana menteri menarik balik pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai pengerusi Felda, pada hari penamaan calon, 22 Januari ini.
"Belum ada sebelum ini pengerusi Felda yang terlalu banyak politiking (seperti Isa)," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan